32 warga asing kerja tanpa permit, tinggal lebih masa ditahan
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 32 warga asing dalam Ops Selera dan Ops Sapu di sekitar bandar raya ini kerana dipercayai bekerja tanpa permit sah serta tinggal lebih masa di negara ini.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, kesemua yang ditahan melibatkan 12 lelaki dan tiga perempuan warga Myanmar, enam lelaki (Pakistan), dua wanita dan satu kanak-kanak perempuan (Indonesia), lima lelaki (India), seorang lelaki (Vietnam) dan seorang wanita (Filipina) berusia antara dua hingga 52 tahun.
“Sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Johor membuat serbuan di beberapa premis di sekitar bandar raya sekitar jam 3 petang hingga 11.30 malam, Ahad lalu.
“Tindakan diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat beberapa warganegara asing bekerja tanpa pas dan permit sah serta tinggal lebih masa di Malaysia," katanya.
Kesemua mereka yang ditahan melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.
Seorang lelaki warga India dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.
Sembilan individu juga diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
JIM Negeri Johor meminta orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap PATI yang melanggar undang-undang termasuk majikan dan pemilik premis menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan serta pas dan permit yang sah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!