Generasi baharu Felda teruja terima kunci PGBF
KULAI - Seramai 311 generasi baharu Felda Sungai Sibol dan Penggeli Timur teruja menerima kunci bagi Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.
Generasi baharu Felda yang juga Pengerusi Badan Bertindak PGBF Sungai Sibol, Mohd Idrus Abdul Rahman berkata, beliau menghargai keprihatinan kerajaan yang memberikan dana dan usaha Felda menyiapkan projek perumahan tersebut.
Menurutnya, beliau menyimpan impian begitu lama untuk memiliki kediaman sendiri.
“Perasaan ini sukar untuk saya gambarkan kerana saya telah menunggu lama untuk saat seperti ini tiba. Saya amat bersyukur dan gembira,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mohd Idrus berkata, Felda berjaya menyiapkan PGBF selepas kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM250 juta menerusi Kertas Putih Felda yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen pada April lalu.
Menurutnya, Felda turut menanggung subsidi sehingga RM100,000 bagi setiap unit rumah yang disediakan.
Sementara itu, generasi baharu Felda Penggeli Timur, Mohammad Dani Mohammad Yusof turut gembira kerana akhirnya berpeluang menduduki rumah idaman.
“Saya amat bersyukur kerana mahu dapatkan rumah bukannya mudah tetapi dengan kelebihan anak Felda, kita dapat peluang yang tidak dapat dinikmati orang lain di luar sana,” katanya.
Mohammad Dani menyifatkan peluang yang diterimanya itu sebagai satu rahmat dan rezeki buat keluarganya walaupun hanya bekerja sebagai buruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!