Isu beras penting, jangan urus main-main - Pemuda PN

Aspek sekuriti makanan negara khususnya melibatkan beras yang menjadi makanan ruji rakyat adalah perkara penting yang tidak boleh diuruskan secara main-main. Gambar kecil: Chia Zhen
Aspek sekuriti makanan negara khususnya melibatkan beras yang menjadi makanan ruji rakyat adalah perkara penting yang tidak boleh diuruskan secara main-main. Gambar kecil: Chia Zhen
A
A
A

ALOR SETAR - Aspek sekuriti makanan negara khususnya melibatkan beras yang menjadi makanan ruji rakyat adalah perkara penting yang tidak boleh diuruskan secara main-main.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wong Chia Zhen menegaskan perkara itu berikutan percanggahan kenyataan daripada pihak kerajaan dalam isu bekalan beras tempatan serta kenaikan harga beras sebelum ini, sekali gus mempersoalkan keseriusan pihak terlibat dalam menguruskan perkara berkenaan.

Menurutnya, pengumuman Pengerusi Task Force Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa kerajaan akan menggantikan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) dengan beras putih Malaysia Madani sejak awal menunjukkan kejanggalan.

"Ini kerana tindakan beliau dilihat telah melangkaui kementerian berkaitan serta dilihat tidak mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, perancangan asal yang diumumkan Syed Abu Hussin Hafiz juga dilihat tidak menyelesaikan masalah sebenar yang melanda pasaran iaitu fenomena kehilangan beras tempatan dalam pasaran yang didakwa dimanipulasi oleh kartel beras.

Beliau berkata, hal itu diburukkan lagi dengan kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang terpaksa menjernihkan kekeliruan rakyat, sekali gus membuktikan komunikasi dan penyusunan strategi lemah di pihak kerajaan dalam urusan berkenaan.

Chia Zen yang juga Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Kedah berkata, Pemuda PN sekali lagi menekankan cadangan ahli-ahli Parlimen PN pada sidang Parlimen lalu agar kerajaan mengkaji semula isu harga runcit beras ini secara komprehensif dan menyeluruh.

"Ini untuk membolehkan situasi menang-menang dapat diwujudkan kepada kumpulan petani dan juga rakyat marhaen khususnya daripada kumpulan B40 dan M40," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, dalam usaha memastikan kestabilan bekalan dan harga beras terus dilestarikan, semua pemegang taruh wajar dilibatkan dan diselaraskan dengan sebaiknya.

"Dengan azam politik dan kerjasama semua pihak berasaskan nilai integriti dan amanah, Pemuda PN yakin masalah beras yang dibelenggu kartel beras dapat diselesaikan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!