Lagi gajah ditangkap di Kampung Melayu Mardi
KLUANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, berjaya menangkap seekor lagi gajah yang dilaporkan menceroboh masuk ke Kampung Melayu Mardi, di sini, pada petang Isnin.
Imam Masjid Kampung Melayu Mardi, Muhammad Zaky Rahmat, 46, berkata, penangkapan itu sekali gus menjadikan dua daripada empat gajah yang memasuki kampung berkenaan sejak awal Februari telah berjaya ditangkap.
Justeru katanya, pihak Perhilitan akan terus menggiatkan usaha untuk mengesan dan seterusnya menangkap dua lagi gajah yang masih bebas ketika ini.
“Tiga hari lepas (Sabtu) Perhilitan dah tangkap seekor dengan bantuan dua ‘gajah pemikat’ dan petang semalam (Isnin), seekor lagi berjaya ditangkap dan ditempatkan di satu lokasi di kampung ini.
“Cuma petang semalam (Isnin), yang seekor lagi keluar dan didapati datang untuk melihat ‘rakannya’ yang berjaya ditangkap di lokasi.
“Tindakannya itu akhirnya menyebabkannya turut ditangkap oleh pihak Perhilitan setelah ditembak dengan ubat pelali,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada 3 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai kehadiran empat gajah masuk ke Kampung Melayu Mardi di sini.
Bagaimanapun, pihak Perhilitan berjaya menangkap daripada gajah tersebut pada Sabtu sebelum seekor lagi berjaya ditangkap pada petang Isnin.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Aminuddin Amin berkata, kedua-dua gajah tersebut akan dipindahkan dalam masa terdekat manakala usaha mengeluarkan dua lagi gajah terus dilaksanakan selepas ini.
“Pagi tadi (Selasa), saya dan Exco alam sekitar negeri telah pergi ke lokasi bagi melihat keadaan di situ dan pihak Perhilitan akan terus menggunakan khidmat dua ‘gajah pemikat’ dalam usaha menangkap kedua-dua gajah berkenaan.
“Setelah ditangkap, kesemua gajah ini akan dipindahkan semula ke habitat semula jadi mereka,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!