Kertas siasatan banduan merusuh lengkap - Polis

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

TAIPING - Polis telah melengkapkan kertas siasatan kes lapan banduan Penjara Taiping merusuh hingga menyebabkan tiga warden cedera dalam kejadian minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, kertas siasatan itu telah diserahkan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan dituduh.

Menurutnya, setakat ini polis telah memanggil 11 individu yang terlibat dalam kejadian terbabit bersama dua saksi untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tiga warden Penjara Taiping cedera selepas terlibat dalam pergelutan dengan sekumpulan banduan dalam kejadian jam 3.30 petang Khamis lalu.

Siasatan mendapati provokasi dipercayai menjadi punca banduan dan warden penjara terbabit bertengkar sebelum berlaku pergelutan.

Warden penjara yang berusia 27, 41 dan 48 tahun itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping sementara semua banduan lingkungan 24 hingga 45 tahun tidak cedera.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!