Polis tingkat rondaan di pantai, air terjun elak lemas

Pengunjung dinasihatkan mematuhi papan tanda amaran keselamatan yang diletakkan di sekitar pantai bagi mengelakkan kejadian lemas. (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
Pengunjung dinasihatkan mematuhi papan tanda amaran keselamatan yang diletakkan di sekitar pantai bagi mengelakkan kejadian lemas. (Gambar kecil: Muhamad Zaki)
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua-ketua polis daerah di negeri ini diarah meningkatkan rondaan di kawasan riadah terutamanya pantai-pantai atau air terjun bagi mengelakkan tragedi lemas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pantai dan air terjun itu menjadi lokasi tumpuan kunjungan orang ramai yang memanfaatkan cuti persekolahan dan musim panas ketika ini.

“Situasi kebanyakan pantai musim ini tidak begitu selamat kerana keadaan ombak yang datang secara mengejut.

“Jadi, saya sudah mengarahkan ketua-ketua polis daerah di kawasan yang ada pantai seperti Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat serta lokasi air terjun supaya melakukan rondaan secara kerap bagi memberi peringatan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa.

Turut diadakan Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kelantan.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Perasmian Mesyuarat Agung Perkep Kontinjen Kelantan pada Selasa.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Perasmian Mesyuarat Agung Perkep Kontinjen Kelantan pada Selasa.

Muhamad Zaki turut menasihatkan pengunjung pantai dan air terjun supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan terutama anak-anak kecil semasa beriadah.

“Dalam keterujaan beriadah, jangan kita leka akan aspek-aspek keselamatan.

Artikel Berkaitan:

“Unit kereta peronda polis akan melakukan pemantauan dan pengunjung hendaklah mematuhi papan tanda amaran keselamatan yang diletakkan di sekitar pantai atau air terjun bagi menggelakkan kejadian lemas,” kata beliau.

Akhbar sebelum itu melaporkan, enam bersaudara hampir lemas apabila dihanyutkan ombak ke tengah laut dalam jarak hingga 70 meter dari gigi pantai di Pantai Aur, Bachok, pada Isnin.

Muhamad Zaki (tengah) menyambut tabik hormat daripada ‘anggota polis cilik’ pada simbolik Perasmian Mesyuarat Agung Perkep Kontinjen Kelantan.
Muhamad Zaki (tengah) menyambut tabik hormat daripada ‘anggota polis cilik’ pada simbolik Perasmian Mesyuarat Agung Perkep Kontinjen Kelantan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kesemua mangsa berusia belasan tahun diselamatkan orang awam dengan dua daripada mereka dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang kerian untuk menerima rawatan susulan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kuala Krai, seorang pembantu kedai makan di Pulau Pinang yang pulang bercuti di kampung, Nurul Fairiefsa Zaidi, 19, lemas ketika mandi di Sungai Kelubi pada jam 1 tengah hari pada Sabtu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!