Pegawai JIPS akan buat pemeriksaan mengejut - KP Kelantan
KOTA BHARU - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kelantan akan melakukan pemeriksaan mengejut ke balai, lokap dan tempat-tempat sensitif bagi mengesan apa jua kelemahan dari segi penyeliaan, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Beliau berkata, berikutan itu kesemua Ketua-Ketua Jabatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan unit-unit di bawahnya akan diarahkan supaya turun ke bawah bagi melihat kepatuhan dari segi prosedur operasi standard (SOP).
"JIPS akan buat pemeriksaan secara mengejut di balai-balai, lokap dan tempat-tempat sensitif bagi melihat sekiranya ada kelemahan.
"Sekiranya ada kelemahan yang kita rasakan kita mampu tangani ia akan dilaksanakan secara nasihat sebelum menjadi lebih teruk,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di IPK Kelantan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, bagaimanapun setakat ini tiada kelemahan ketara, khususnya dari segi pematuhan, direkodkan melibatkan pegawai dan anggota polis IPK Kelantan.
"Jika ada kelemahan kecil mungkin disebabkan ada pegawai atau anggota yang bertugas terlibat dengan kursus, terlibat sukan ataupun akibat kekeliruan," katanya.
Sementara itu, katanya polis Kelantan juga dalam proses melihat jawatan-jawatan sensitif ataupun pegawai yang dilihat sudah terlalu lama di sesuatu tempat.
Beliau berkata walaupun seseorang pegawai sudah lama di sesuatu tempat dilihat tidak bermasalah, mereka tetap akan dipindahkan.
"Pegawai atau anggota yang dipindahkan ini adalah supaya dapat digilap agar lebih berpengetahuan dan lebih berdaya saing.
"Kita juga bimbang sekiranya sudah terlalu lama mereka (pegawai dan anggota) akan terjebak pada sesuatu perkara yang tidak baik dan mencalar imej pasukan,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!