Bayaran insentif awal dorong penjawat awam bina Malaysia Madani
PUTRAJAYA - Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 pada Jumaat ini akan menjadi pendorong kepada penjawat awam untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi membina Malaysia Madani.
Berucap pada majlis Madani Muhibah di sini hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, aspirasi Malaysia Madani tidak akan tercapai jika tiada kerjasama, sokongan dan dukungan daripada barisan penjawat awam.
"Aspirasi Malaysia Madani adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain,” katanya.
Malaysia Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Ia diiacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Dalam pada itu, Kor Ming turut meminta penjawat awam untuk fokus menyelesaikan masalah dan melaksanakan polisi bagi memenuhi keperluan semasa selain mencorak masa hadapan dan memenuhi potensi negara.
Bayaran insentif awal sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam itu, dibuat sekali gus pada 23 Februari ini. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!