Ismail Bakar dilantik Pengerusi EAIC
PUTRAJAYA - Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Februari lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Januari selaras dengan Sub Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Menurutnya, baginda turut memperkenan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham dilantik sebagai Timbalan Pengerusi EAIC.
Selain itu, turut diperkenan lima anggota EAIC yang terdiri daripada Datuk Seri Dr Yusof Ismail, Datuk Seri Dr Razali Abd Malik, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Datuk Ong Lam Kiat serta Datuk Siti Zainab Omar.
"Semoga pelantikan ini akan memperkukuh pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang efektif dan berintegriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan merakamkan penghargaan kepada barisan Pesuruhjaya EAIC terdahulu yang telah melengkapkan perkhidmatan mereka di suruhanjaya itu pada 30 Jun 2023.
Pesuruhjaya EAIC sebelum ini dipengerusikan oleh Tan Sri Sidek Hassan dan Tan Sri Datuk Zainun Ali bertindak sebagai Timbalan Pengerusi.
Turut menganggotai, Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Datuk Wira Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O'hara dan Professor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!