Kastam rampas mercun, arak RM5.22 juta
KLANG - Cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun serta minuman keras bernilai RM5.22 juta sempena Tahun Baharu Cina berjaya dipatahkan menerusi beberapa siri serbuan di sekitar Selangor, Melaka dan Perak bermula 5 Februari sehingga 8 Februari lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Norlela Ismail berkata, kesemua barangan ini diseludup dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, serbuan melibatkan rampasan mercun bernilai RM694,000 melibatkan lima serbuan berasingan di Selangor dan Perak.
"Serbuan dijalankan melibatkan kesemua lokasi berasingan ini merampas 2,270 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun.
"Operasi yang dijalankan ini turut berjaya menahan dua individu masing-masing berumur 30an merupakan pemilik gudang terbabit menerusi serbuan di Trong, Perak," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Wilayah Tengah di Pelabuhan Klang, di sini pada Selasa.
Dalam sidang akhbar sama, Norlela berkata, sebanyak 126,720 liter minuman keras bernilai RM4.53 juta dirampas menerusi serbuan dijalankan di sekitar Pelabuhan Utara di sini.
"Operasi dijalankan melibatkan rampasan lima buah kontena yang didapati mengandungi minuman keras pelbagai jenama itu.
"Siasatan mendapati kesemua minuman yang dirampas ini diikrar sebagai peralatan perabut melalui dokumen berkaitan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya.
Menurutnya, kesemua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!