Sabah laksana larangan merokok di premis makanan mulai 1 Februari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah akan mula melaksanakan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Februari ini, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Menurut beliau, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Ini akan memberi masa kepada semua agensi dan pemilik premis terlibat untuk membuat persiapan bagi pelaksanaan peraturan ini.

Penguatkuasaan sepenuhnya peraturan ini hanya akan dilaksanakan pada 1 Julai. Sehingga 30 Jun, kementerian bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah akan melaksanakan penguatkuasa pendidikan, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tien Fatt berkata sungguhpun makluman awal telah dibuat mengenai pewartaan yang dipinda ini pada akhir tahun lepas, pihak Kerajaan Negeri Sabah tidak ada menerima makluman bertulis.

Ini menyebabkan kekeliruan mengenai penguatkuasaan peraturan ini di Sabah, katanya.

Menurutnya, sebab itu Kerajaan Negeri membuat keputusan menangguh pelaksanaan peraturan itu sehingga dibincangkan dalam mesyuarat kabinet negeri.

Kerajaan Negeri prihatin terhadap kesihatan penduduk negeri ini dan menyokong penuh usaha Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata secara prinsipnya Kerajaan Negeri menyokong pelaksanaan peraturan larangan merokok kawasan tempat makan samada berhawa dingin dan terbuka.

Tien Fatt berkata sebelum ini kerajaan negeri telah melaksanakan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di mana terdapat 23 larangan merokok termasuklah di restoran berhawa dingin dan pensijilan Blue Ribbon sejak 2014 isytiharkan premis sebagai kawasan bebas asap rokok secara sukarela.

Katanya menerusi tinjauannya sendiri khususnya di Bandaraya Kota Kinabalu, kebanyakan premis makanan sudah melekatkan notis larangan merokok yang menunjukkan mereka menyambut baik larangan itu.

Beliau yakin larangan merokok di premis makanan ini tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke negeri ini dan mereka perlu mematuhi larangan itu yang juga telah dilaksanakan di beberapa negara lain antaranya Singapura.

Katanya larangan merokok di negeri ini turut termasuk rokok daun (sigup kirai) yang biasa digunakan masyarakat Kadazandusun dan Murut di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Christina Rundi berkata jabatan itu mempunyai 747 pegawai penguatkuasa kesihatan di seluruh negeri ini yang akan terlibat dalam penguatkuasa peraturan larangan merokok di premis makanan itu.

Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!