Peguam, pegawai pinjaman perlu lapor projek perumahan diragui - Rehda
![Rehda yakin aktiviti haram itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada landskap industri hartanah pada masa depan sekiranya semua pihak bekerjasama - Gambar hiasan 123RF](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/02/20/2544712.jpg)
KUALA LUMPUR - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) menggesa peguam dan pegawai pinjaman memainkan peranan mereka dengan melaporkan sebarang projek perumahan yang meragukan kepada pihak berkuasa terutamanya yang dibina atas alasan tujuan kediaman sendiri.
Presiden Rehda, Datuk NK Tong berkata, projek perumahan ini lebih kerap ditawarkan oleh individu yang menyamar sebagai pemaju, yang lokasi projek di luar bandar, kawasan pinggir bandar dan pembangunan kecil iaitu skala projek adalah kecil dan mungkin tidak dapat dikesan.
"Lazimnya individu yang menyamar sebagai pemaju juga beroperasi tanpa sebarang Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) justeru sukar untuk menjejaki mereka,” katanya.
Bagaimanapun, katanya perlu diingatkan bahawa projek berkenaan tidak akan berjalan dan akhirnya terbengkalai tanpa campur tangan peguam dan pegawai pinjaman yang salah.
"Perkhidmatan guaman dan tawaran pembiayaan pinjaman sepatutnya dihentikan bagi projek tanpa APDL yang diluluskan seperti ini dan kami percaya tanggungjawab itu harus terletak pada peguam dan pegawai pinjaman ini untuk melaporkan kegiatan tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tong juga menggesa siasatan dijalankan terhadap peguam dan pegawai pinjaman yang terlibat dan mengambil tindakan terhadap mereka dan orang lain yang bersubahat dalam jenayah sedemikian.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan media memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf sebagai berkata, 88 kes pecah amanah jenayah membabitkan peguam direkodkan membabitkan kerugian RM88.3 juta antara 2021 hingga 2023.
Kes terbaru berlaku di Negeri Sembilan apabila seorang lelaki berusia 60 tahun kerugian RM333,323 yang siasatan awal menunjukkan seorang peguam dan ejen hartanah telah mengendalikan penjualan rumah mangsa pada Ogos tahun lepas.
Bagaimanapun, mangsa tidak menerima wang hasil jualan rumahnya.
Tong berkata, Rehda Malaysia berminat untuk melibatkan diri dan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa negeri yang berkaitan dan polis untuk membendung projek haram itu yang boleh menyebabkan masalah terbengkalai.
Beliau melahirkan keyakinan aktiviti haram itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada landskap industri hartanah pada masa depan sekiranya semua pihak bekerjasama. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!