'Thailand tidak akan ada dua PM'
BANGKOK - Timbalan Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menolak spekulasi yang mendakwa Thaksin Shinawatra akan mula mempengaruhi pentadbiran negara itu yang dipimpin Srettha Thavisin selepas beliau dibebaskan dengan parol pada awal minggu lalu.
“Mereka yang terlalu bimbang akan hal itu ternyata masih terperangkap dengan masa lalu,” ujarnya pada Selasa.
Thaksin, 74, yang menubuhkan Parti Thai Rak Thai yang kemudiannya menjadi Parti Pheu Thai dipercayai masih berpengaruh dan dihormati kebanyakan anggota parti pemerintah tersebut malah Phumtham pernah menjadi orang kanan beliau ketika penggal pemerintahannya.
Ketika disoal sama ada Thaksin akan membantu untuk mengukuhkan Pheu Thai, beliau menjelaskan parti itu sememangnya sudah kuat dan komited untuk menjaga rakyat.
“Kekuatan Pheu Thai bukan terletak pada individu,” katanya sambil menambah bilionair tersebut tidak akan memainkan peranan dalam kerja kerajaan kerana beliau mahu menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga.
Menurutnya, Thaksin ada menawarkan untuk menjadi penasihat berhubung isu yang pernah ditanganinya.
“Usah bimbang dan hal itu tidak perlu dipolitikkan. Tidak akan ada dua Perdana Menteri dalam kerajaan,” katanya lagi.
Sehari selepas pembebasannya dari hospital polis, Thaksin yang masih belum sihat sepenuhnya dilaporkan bertemu dengan pendakwa raya untuk berbincang tentang tuduhan menghina raja yang dikenakan ke atasnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!