Mayat timbul selepas laungan azan
BENTONG - Selepas tiga hari, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor yang hilang ketika beriadah di Air Terjun Lata Hammer dekat Jalan Lama Bentong-Gombak di sini pada Ahad ditemukan lemas pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, mangsa Muhamad Hafiz Khairul Azmi, 22, timbul di permukaan kira-kira jam 11.50 pagi iaitu kira-kira lima meter lokasi mangsa dipercayai lemas.
Menurutnya, mangsa timbul selepas salah seorang ahli keluarga melaungkan azan di tempat kejadian.
"Jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga melibatkan seramai 43 orang terdiri daripada pegawai dan anggota dari pelbagai agensi iaitu polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Bentong Treckker yang menghulurkan bantuan aset serta sumber," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Zaiham memberitahu, mangsa dikenali Muhamad Hafiz Khairul Azmi, 22, dari Janda Baik, di sini adalah seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!