Empat wanita, dua lelaki dikhuatiri sesat di Gunung Angsi - Bomba

Anggota BBP Seri Menanti dan pihak polis giat menjalankan operasi pencarian empat wanita dan dua lelaki yang dikhuatiri sesat ketika mendaki Gunung Angsi, Kuala Pilah pada Selasa. Foto BBP Seri Menanti
Anggota BBP Seri Menanti dan pihak polis giat menjalankan operasi pencarian empat wanita dan dua lelaki yang dikhuatiri sesat ketika mendaki Gunung Angsi, Kuala Pilah pada Selasa. Foto BBP Seri Menanti
A
A
A

SEREMBAN - Empat wanita dan dua lelaki dikhuatiri sesat ketika mendaki Gunung Angsi, Kuala Pilah pada Selasa.

Komander Operasi Balai Bomba Seri Menanti, Norhirwan Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.31 malam mengenai kejadian sekumpulan pendaki sesat di gunung terbabit.

"Maklumat awal mendapati, kesemua mangsa masih belum pulang ke rumah menyebabkan pengadu memohon bantuan daripada pihak bomba untuk mencari mangsa.

"Bertindak atas maklumat, enam anggota BBP Seri Menanti telah bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT (Fire Rescue Tender) sejurus menerima panggilan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, terdapat dua kenderaan di kaki Gunung Angsi disyaki milik mangsa.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba di pondok checkpoint bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Negeri Sembilan, Penguasa Bomba, Yusry Abdullah Sani ketika dihubungi berkata, kesemua mangsa berusia lingkungan 28 hingga 42 tahun didapati telah mendaftar terlebih dahulu di pondok pejabat hutan.

Menurutnya, kesemua pendaki dipercayai dari Selangor masih belum mendaftar keluar dari gunung berkenaan susulan itu pasukan penyelamat yang turut dibantu polis telah mencari mangsa hingga ke puncak, namun tidak terdapat sebarang jejak mangsa.

"Pencarian akan diteruskan malam ini dengan pecahan ke tiga lokasi yang dijangka mangsa akan turun iaitu di Ulu Bendul, Kampung Jkin di Kuala Pilah dan Taman Tuanku Ja'afar (TTJ) di Seremban.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, sehingga kini kesemua mangsa gagal dihubungi melalui talian telefon. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!