Bidaan nombor plat cantik wujud situasi menang-menang
MERAK Jalanan rasa teruja apabila nombor pendaftaran kenderaan GOLD 1 dibida dengan nilai paling tinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM1.5 juta.
Pemenangnya ialah Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.
Seingat Merak Jalanan, Sultan Muhammad V ketika bergelar Yang di-Pertuan Agong pada 2017, juga pernah menang bidaan nombor DDD2 dengan nilai RM385,000.
Namun kejayaan Sultan Ibrahim lebih mengujakan.
Tahun lalu, baginda menyumbang RM1.2 juta menerusi bidaan nombor plat FF1.
Pada 2016, baginda menang nombor plat F1 pada nilai RM836,660, diikuti V1 bernilai RM989,780.
Baginda juga juga menang nombor plat WWW1 pada 2012 dengan tawaran RM520,000.
Secara keseluruhan, nilai bidaan baginda tidak kurang RM2.3 juta.
Sebenarnya nombor plat cantik juga sering menjadi buruan rakyat Malaysia yang lain.
Kalau sesetengah orang menganggap berbelanja besar untuk nombor plat sebagai membazir, tetapi bagi yang tahu, nombor plat juga boleh menjadi bisnes yang menguntungkan.
Adakalanya ia dianggap imej dan jenama diri.
Setahu Merak Jalanan ada beberapa jenis nombor plat yang selalu jadi kegilaan ramai.
Pertama, nombor semasa seperti FF dan GOLD. Ini boleh dibida menerusi JPJeBID.
Nombor klasik, terdiri daripada satu atau dua digit.
Nombor istimewa pula jika dibaca, ada maksud yang menarik.
Contohnya UM1771 keluaran khas Universiti Malaya yang jika dirapatkan akan jadi seperti UMMI, atau JUL14 yang dibaca Julia.
Huruf awalan unik yang berulang juga terbukti jadi rebutan sejak tahun 1970-an lagi.
Ini termasuk AAA yang dikeluarkan pada 1977, BBB (1978), JJJ (2005), CCC (2007), WWW (2012), RR (2017), DDD (2017) dan PPP (2020).
Ketika penggemar mendapat nombor plat idaman, hasil jualan nombor plat yang mencecah jutaan ringgit pula membolehkan kerajaan menyalurkan semula wang tersebut untuk kepentingan rakyat.
Bagi Merak Jalanan, ini situasi menang-menang juga.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!