Haaland tutup mulut pengkritik
ERLING Haaland telah 'menutup mulut' pengkritiknya apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 Manchester City ke atas Brentford pada awal pagi Rabu, kata Pep Guardiola.
Hanya dua mata memisahkan pasukan tiga teratas dalam persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika City berada satu mata belakang pendahulu Liverpool, dengan Arsenal di tangga ketiga dalam baki 13 perlawanan liga.
Haaland juga berjaya menebus malam yang mengecewakan ketika City diikat 1-1 di laman sendiri oleh Chelsea pada Sabtu.
Pemain dari Norway itu baru sahaja pulih akibat kecederaan dan Guardiola berkata, dia turut berdepan dengan pemergian neneknya baru-baru ini.
Tetapi Haaland membuktikan dia cukup cemerlang di hadapan gawang apabila dia meluru menyambut hantaran Julian Alvarez untuk menjaringkan gol ke-22 peribadinya musim ini 19 minit sebelum perlawanan tamat.
“Penyerang terbaik menjaringkan banyak gol. Jangan kecam, dia akan tutup mulut anda.
“Dia tidak dapat bermain selama dua bulan dan dia kehilangan nenek, bukan mudah bagi seorang manusia," kata Guardiola.
Kevin De Bruyne diletakkan di bangku simpanan untuk keseluruhan perlawanan apabila Guardiola mendedahkan dia mengalami sedikit masalah pada hamstringnya.
Pemain Belgium itu terlepas lima bulan pertama musim ini kerana kecederaan hamstring.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!