Nora Anne: Terpulang kepada keluarga saman resort

Huzir pada sidang media di IPK Negeri Sembilan hari ini.
Huzir pada sidang media di IPK Negeri Sembilan hari ini.
A
A
A

SEREMBAN – Tindakan saman sivil yang dilakukan oleh keluarga mendiang Nora Anne Quoirin terhadap resort penginapan, The Dusun Pantai Hill, Jalan Pantai itu adalah antara pihak keluarga dengan pemilik resort sahaja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, apa jua tindakan yang dilakukan oleh keluarga tersebut itu adalah haknya tetapi bagi pihak polis kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“(Laporan) SDR tersebut telah kita hantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya berdasarkan (kepada) laporan patalogi yang telah kita rakam dan berdasarkan sijil kematian sebab kematian (cause of death) Nora Anne, yang menyatakan (kematiannya adalah) kerana disebabkan kebocoran pada usus.

“Pihak Peguam Negara telah memutuskan pada ketika itu kes ini telah di NFA, dan kita kini sedang membuat persiapan untuk menghantar laporan lengkap secara rasmi hasil bedah siasat yang dilakukan lalu.

“Saya ingin menegaskan di sini, pihak Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Bahagian Antarabangsa juga ada berhubung dengan keluarga mangsa dan peguam keluarga di UK (United Kingdom),” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini kes remaja malang warga Ireland, di mana keluarga Nora Anne baru-baru ini telah mengemukakan saman sivil terhadap operator resort itu yang merupakan lokasi kehilangan dan kematian remaja berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak perlu menjawab sebarang berita berkaitan kematian remaja berkenaan yang dimainkan media antarabangsa, sebaliknya sebarang makluman akan disampaikan terus kepada keluarga mangsa menerusi Urusetia KPN.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Nora Anne berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos 2019, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 kilometer daripada resort tersebut.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!