Belasungkawa: Negara hilang figura terbilang
SHAH ALAM - Negara pada Rabu berduka dengan pemergian figura terbilang, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang banyak membawa perubahan besar kepada rakyat khususnya di Sarawak.
Terkenal dengan jolokan sebagai Bapa Pemodenan Sarawak, Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.28 pagi tadi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) pada usia 87 tahun.
Kehilangan Ketua Menteri Sarawak keempat itu pastinya sangat dirasai masyarakat negeri berkenaan kerana beliau membawa limpahan nikmat menerusi dasar politik pembangunan sejak menerajui tampuk kepemimpinan kerajaan Bumi Kenyalang itu pada 1981.
Dasar politik pembangunan yang ketengahkan Allahyarham berjaya mengubah landskap sosiekonomi Sarawak yang negerinya seluas 124,450 kilometer (km) persegi hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia iaitu 130,590 km persegi.
Sememangnya usaha membangunkan sebuah negeri yang begitu luas bukanlah suatu tugas mudah, namun sepanjang menakhodai Sarawak selama 33 tahun beliau berjaya memodenkan Sarawak sekali gus menjadi arkitek pembangunan negeri.
Kestabilan politik menerusi perpaduan kaum dan agama di Sarawak menjadi dukungannya agar program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau juga mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Dasar politik pembangunan yang diperkenalkan Allahyarham juga diteruskan oleh penggantinya, Tan Sri Adenan Satem dan kini oleh ketua Menteri Sarawak keenam, Tan Sri Abang Johari Abang Openg khususnya dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di luar bandar.
Dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936, beliau yang berketurunan Melanau adalah anak saudara Ketua Menteri Sarawak ketiga yang juga Yang di-Pertua Negeri Sarawak keempat, Allahyarham Tun Abdul Rahman Yakub.
Abdul Taib memulakan persekolahannya di Sekolah Rendah St Joseph di Miri dan seterusnya ke Sekolah Menengah St Joseph di Kuching sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Universiti Adelaide di Australia Selatan.
Selepas pulang semula ke Sarawak, beliau dilantik sebagai pendakwa raya di dalam 'Crown Council' pada 1962 sehingga 1963 dan kemudiannya mencipta sejarah dalam politik Sarawak apabila menjadi individu termuda dilantik dalam Kabinet sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya pada 1963 pada usia 27 tahun.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Peguam Negara Sarawak pada 1962 sebelum dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sarawak pada 1963.
Beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan Sarawak daripada Abdul Rahman sejak 26 Mac 1981, sekali gus menjadi Ketua Menteri paling lama berkhidmat sebelum meletak jawatan pada 28 Februari 2014 apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh.
Allahyarham menjadi ketua negeri selama 10 tahun sehingga 25 Januari 2024 sebelum khidmatnya digantikan dengan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan pada 26 Januari lalu.
Dalam arena politik pula, beliau turut memegang sejarah sebagai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) paling lama iaitu selama 33 tahun bermula 1981 sehingga 2014.
Abdul Taib berkahwin dengan wanita berketurunan Poland, Puan Sri Laila Taib pada 1959 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Jamilah Hamidah Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan Datuk Hanifah Hajar.
Setelah kematian Laila disebabkan penyakit barah pada 29 April 2009, beliau berkahwin pula dengan wanita Lubnan, Toh Puan Raghad Kurdi pada 2010.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!