Raja Muda Perlis, Tengku Mahkota Pahang beri penghormatan terakhir kepada Taib Mahmud

Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) dan Tengku Muhammad Fakhry (dua dari kanan) berkenan berangkat dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Taib Mahmud di Masjid Negara. Foto Bernama
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) dan Tengku Muhammad Fakhry (dua dari kanan) berkenan berangkat dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Taib Mahmud di Masjid Negara. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 12.07 tengah hari, disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan ahli keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak itu.

Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir adalah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Hassanal (empat dari kanan) berkenan berangkat dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Taib Mahmud di Masjid Negara, hari ini. Foto Bernama
Tengku Hassanal (empat dari kanan) berkenan berangkat dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Taib Mahmud di Masjid Negara, hari ini. Foto Bernama

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selesai disolatkan di Masjid Negara pada jam 10.24 pagi yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni dengan disertai kira-kira 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga, pemimpin negara dan sahabat handai.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Dewan Syarahan Utama Masjid Negara untuk ahli keluarga dan rakan-rakan memberi penghormatan terakhir sebelum dibawa keluar dari Masjid Negara pada jam 12.30 tengah hari untuk ke Pangkalan Tentera Udara (TUDM) Subang sebelum diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Tun Abdul Taib, 87, meninggal dunia pada jam 4.40 pagi tadi selepas menerima rawatan selama kira-kira seminggu di sebuah hospital di ibu negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:


___________________________________________________________________________________________

Raja Muda Perlis zahir takziah kepada keluarga Taib Mahmud

KANGAR - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, yang meninggal dunia awal pagi Rabu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam satu kenyataan pada Rabu bertitah, baginda turut berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disolatkan dan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum diterbangkan ke Kuching.

Menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis di Masjid Negara ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Baginda mewakili Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menghadiri Mesyuarat Persidangan Majlis Raja-Raja Ke-265 di Istana Negara, Kuala Lumpur yang berlangsung hari ini dan esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!