Kes lemas Pantai Batu Buruk: Perbesar tanda amaran, sedia pelampung

Anggota keselamatan mengesan seorang lelaki yang hilang di Pantai Batu Buruk pada Ahad lalu.
Anggota keselamatan mengesan seorang lelaki yang hilang di Pantai Batu Buruk pada Ahad lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memperbanyakkan dan memperbesarkan papan tanda amaran serta menyediakan pelampung di sekitar lokasi tragedi lemas yang turut meragut nyawa seorang pengunjung dari Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Menurut penduduk, Amin Che Muhammad, 37, langkah keselamatan penting memandangkan kawasan rekreasi Pantai Batu Buruk menjadi tumpuan ramai pengunjung dari luar Terengganu.

"Antara asas keselamatan di pantai ini perlu ada papan tanda amaran, pelampung bertali yang mudah dicapai ketika waktu kecemasan, menara kawalan dan lifeguard (penyelamat).

"Kita akui sudah ada papan tanda amaran di sini tetapi tidak semua yang datang ke sini nampak papan tanda amaran itu, sebab itulah di kawasan-kawasan berisiko ini perlu ditambah atau perbesarkan papan tanda serta menambah bendera merah.

Amin
Amin

"Boleh juga sediakan satu pondok untuk memudahkan alatan keselamatan ini diambil dan perlu kepada pemantauan supaya ia tidak disalahgunakan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Amin yang tinggal di Kampung Pantai Batu Buruk, di sini berkata, menjadi tanggungjawab penduduk di kawasan itu untuk menegur sekiranya terdapat pengunjung yang mengambil peluang untuk mandi-manda di pantai berkenaan terutama sepanjang musim tengkujuh.

"Pantai Batu Buruk ni antara tempat yang menerima kunjungan ramai.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai orang tempatan di sini yang tahu selok-belok pantai ni, kalau terserempak dengan mereka yang mandi-manda memang awal-awal lagi kita tegurlah tak beri mandi.

"Itu yang kita nampak atau terserempak.

"Jadi untuk beri orang faham dan tahu bahawa kawasan tu bahaya, rasanya perlu kepada perbanyakkan lagi papan tanda amaran atau naikkan bendera merah dan sediakan lifeguard di situ," katanya.

Sementara itu, Nur Jalilah Khairi, 40, berkata, kawasan pantai di Terengganu sama seperti pulau yang ditutup sepanjang musim tengkujuh.

"Ombak besar dan arus yang tak diduga sering melanda sepanjang tempoh ini.

"Bukan kata orang kampung tak mandi pantai, kita mandi juga cuma ada masa-masa tertentu yang selamat dan tak selamat.

"Kalau musim tengkujuh ni memang anak-anak pun tak dekati kawasan pantai.

"Bila tiba musim ombak reda dan air surut barulah ada yang bermain pasir atau di gigi air," katanya.

Berdasarkan laporan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesan terdapat sehingga empat kawah air di dasar laut sepanjang Pantai Batu Buruk, di sini.

Pengarah JBPM negeri, Hassan As'ari Omar, kawah tersebut dikesan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ketika melakukan selaman dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas dilokasi itu pada Ahad dan Isnin lalu.

Jelas beliau, difahamkan kawah air yang terletak kira-kira 50 meter dari pesisir pantai itu terbentuk dari pusaran air sekali gus menyukarkan kerja-kerja menyelamat mangsa lemas yang dihanyutkan arus disebabkan keadaan kawah berkenaan gelap dan dipenuhi sampah.

Isnin lalu, seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Pantai Batu Buruk pada Ahad ditemukan lemas berdekatan Pulau Gemia, Marang kira-kira jam 4 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, mayat Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, ditemukan terapung oleh nelayan sejauh 16 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!