KLAB himpun 49 penerbit buku pelbagai bahasa

Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) 2024 diadakan bermula 22 hingga 25 Februari ini di Pasar Seni Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) 2024 diadakan bermula 22 hingga 25 Februari ini di Pasar Seni Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) 2024 menghimpunkan 49 penerbit buku dengan pelbagai judul bahasa seperti Mandarin dan Indonesia bermula 22 hingga 25 Februari ini di Pasar Seni Kuala Lumpur.

Pengarah Urusannya merangkap rakan penganjur, Amir Muhammad berkata, pesta buku yang berlangsung selama empat hari itu merupakan platform terbaik untuk pembaca mendapatkan karya terbaharu daripada penulis tempatan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan lebih 50,000 pengunjung termasuk pelancong pada KLAB kali ini.

"Antara penerbit yang akan membuka reruai sepanjang acara tersebut adalah Karangkraf, Gerak Budaya, Odonata Sdn Bhd, Mangosteeen, ILHAM Books, Rabak-Lit, Buku Liar dan banyak lagi.

“Pada pesta buku kali ini, kita juga tampilkan penerbit buku bahasa Mandarin buat pertama kalinya dan juga judul buku dari Indonesia oleh beberapa penerbit tempatan.

Amir Muhammad. Foto LEON WING
Amir Muhammad. Foto LEON WING

“Kita berharap akan lebih ramai pengunjung yang hadir. Kalau boleh lebih 50,000 orang sudah cukup baik.

“Pasar seni sudah berwajah baharu jadi ini merupakan peluang terbaik untuk penerbit buku bertemu pembaca bukan hanya dalam negara, tetapi masyarakat antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Amir, antara aktiviti yang akan diadakan adalah ruangan sembang bersama penulis, diskusi dan pelancaran judul buku baharu daripada beberapa penerbit.

Beliau yang juga Pengasas penerbitan Buku Fixi (Fixi) itu berkata, acara tersebut juga mampu merangsang produktiviti ekonomi industri buku di Kuala Lumpur dan mengumpulkan penulis tempatan untuk berbincang serta berkongsi idea bagi meningkatkan kualiti karya bersama pembaca.

“Pengunjung yang hadir berpeluang mendapatkan tawaran harga yang menarik dan bahan bacaan secara langsung daripada penerbit buku.

“Sepanjang empat hari pesta buku ini berlangsung kita ada sesi bersama penulis, buskers, sesi perbincangan buku dan banyak lagi.

"Aktiviti ini juga mampu meningkatkan aktiviti ekonomi berasaskan kesenian dan kebudayaan di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!