Rakyat Malaysia rakam lelaki hampir jatuh buaian kabel di Turkiye

Pengunjung yang hampir terjatuh ketika bermain buaian kabel di Turkiye. Foto Nik Ali Nik Muhammad
Pengunjung yang hampir terjatuh ketika bermain buaian kabel di Turkiye. Foto Nik Ali Nik Muhammad
A
A
A

KOTA BHARU - Detik cemas seorang pengunjung hampir terjatuh dari buaian kabel di lokasi popular sukan musim sejuk di Uludag National Park, Istanbul, Turkiye sempat dirakam seorang rakyat Malaysia semasa melancong ke negara terbabit pada Sabtu lalu.

Nik Ali Nik Muhammad, 33, yang juga pemandu pelancong Dabong, Kuala Krai berkata, ketika itu dia dalam jelajah ke-16 negara dunia dan tiba di Turkiye pada hari ke-30 lawatan solonya.

Menurut Nik Ali, semasa mengunjungi pusat sukan ais dan luncur salji tersebut, beliau yang sedang duduk di kerusi sambil menikmati pemandangan Gunung Uludag terkejut melihat seorang lelaki berada dalam keadaan bergayut pada buaian kabel bergerak.

“Kedua-dua belah tangan lelaki itu hanya berpaut sedikit pada besi buai dan dia hampir terjatuh di ketinggian anggaran lapan hingga 10 meter.

“Ngeri sungguh tengok depan mata saat-saat dia bertahan, kalau terlepas genggaman, boleh patah kaki atau tulang rusuk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, pengunjung tempatan dari negara Turkiye itu bagaimanapun terselamat apabila berjaya melompat ke jaring dengan bantuan staff di penghujung stesen kabel selepas kira-kira dua minit bertarung nyawa di buaian itu.

Susulan kejadian tersebut, Nik Ali turut dipanggil oleh pihak polis Turkiye untuk memberi kerjasama sebagai saksi utama.

Nik Ali ketika melancong ke Turkiye.
Nik Ali ketika melancong ke Turkiye.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah semua baik-baik sahaja dan saya juga baru tiba di Kelantan selepas menaiki penerbangan dari Turkiye-Qatar-Kuala Lumpur.

“Nasib baik saya rakam kejadian tu, soal siasat jadi ringkas dan selepas semua selesai, ramai yang cari saya sebab nak dapatkan video ini,” katanya.

Nik Ali turut berkongsi rakaman tersebut di aplikasi TikTok dan setakat tengah hari Rabu, tontonan mencanak ke 11 juta sejak dimuat naik dua hari lalu selain turut mendapat perhatian dari agensi media antarbangsa seperti CNN, Fox dan ESPN yang mahukan perkongsian video terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!