Artis realiti TV didakwa rompak warga emas
MELAKA TENGAH - Seorang wanita yang pernah menyertai rancangan realiti hiburan televisyen swasta antara tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang warga emas, Disember tahun lalu.
Tertuduh, Jamaliah Saadun, 48, bersama dua rakannya, Mohd Idris Yasmir, 34, dan Muhammad Dhirar Raihan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiganya dengan niat melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta iaitu rantai emas, wang tunai dan sebuah kereta dengan anggaran kerugian RM24,680 milik M Kesavan, 60 di tepi Taman Seri Emas, di sini, sekitar jam 3 pagi pada 15 Disember 2019.
Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos yang turut memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan berikutan tiada penawaran jaminan bagi ketiga-tiga tertuduh.
Sementara itu, Jamaliah dan dua rakannya diwakili peguam bela, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.
Elesabet kemudian menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.
Pada perbicaraan berasingan, Jamaliah bersama seorang lagi rakan wanita, Madura Mahat, 40, mengaku tidak bersalah merompak telefon bimbit dan mencederakan Muhammad Miskeen Kind Marhoom, 70, dengan menyeret mangsa menggunakan kereta, di tepi jalan Seri Mangga 8, Taman Seri Mangga, jam 11.25 pagi, 18 Disember lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!