Beri alasan budak tanggalkan tanda harga
MELAKA - Seorang pekerja kedai perabot warga asing sanggup memberi alasan barang jualannya tidak mempunyai tanda harga kerana telah ditanggalkan kanak-kanak yang datang ke kedai itu.
Alasan tidak masuk akal itu sengaja diberikan seorang lelaki berusia 40-an ketika serbuan yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri di sekitar MITC di sini, pada Rabu.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, alasan seperti itu tidak boleh diterima dan seharusnya mereka lebih peka untuk memastikan setiap barang jualan mempunyai tanda harga.
Menurutnya, selain memberi alasan tanda harga telah ditanggalkan oleh anak pelanggan, ada juga yang mendakwa menulis tanda harga menggunakan tulisan jawi.
"Itu antara alasan yang selalu digunakan, ada juga yang memberitahu pelanggan mahu membeli perabot itu, jadi bila nak beli, dia tak boleh letak tanda harga.
"Sebab mereka kata dah ditempah tapi selepas kita desak rupanya tiada pelanggan yang menempah, dia memang sengaja reka cerita dan kita tak nak pengguna tertipu dengan alasan-alasan diberikan," katanya.
Jelas Norena, operasi yang disertai seramai 16 anggota KPDN telah memeriksa sebanyak 20 premis yang menjual perabot dan langsir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, tujuh premis dikenakan kompaun serta-merta bernilai RM5,000 atas kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Kita berharap pengguna tidak mudah tertipu dengan taktik mereka lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!