Hanya salah faham, tiada kaitan kes culik di Pantai Kemayang
BACHOK - Kes penculikan yang didakwa melibatkan dua orang kanak-kanak di Pantai Kemayang, di sini pada Selasa hanyalah salah faham.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris mengesahkan perkara tersebut dan hasil siasatan lanjut mendapati kes itu hanyalah salah faham dan tiada unsur culik.
"Sebenarnya, pihak yang disyaki berada di kawasan terbabit atas urusan jual beli kenderaan sahaja.
"Mangsa dan pihak yang disyaki telah berjumpa serta berpuas hati dengan hasil siasatan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut beliau, polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada Selasa, jam 6 petang yang melihat anaknya berusia tujuh tahun dan anak saudara berumur sembilan tahun berlari ke rumah nenek mereka dari arah kedai berdekatan.
Ujarnya, tindakan itu difahamkan selepas kedua kanak-kanak itu ternampak sebuah kereta jenis proton Iswara berhenti berdekatan dengan mereka.
Mohd Zain berkata, lelaki itu menyatakan kereta tersebut telah bertindak mengundur dan bergerak ke arah yang sama semasa kedua-dua kanak-kanak itu melarikan diri.
"Individu berusia 38 tahun itu cuba mengejar kereta yang dinaiki oleh tiga orang lelaki bersama abang iparnya menggunakan motosikal namun gagal.
"Individu itu kemudian terus ke balai polis membuat laporan bagi tindakan lanjut. Pada hari yang sama, seorang lelaki tampil membuat laporan polis dan memaklumkan telah pergi ke Pantai Kemayang untuk minum setelah urusan jual beli kenderaan terpakai di Kampung Kemasin tidak berjaya dilakukan," katanya.
Menurut beliau, lelaki berusia 33 tahun itu memberitahu dia ke lokasi tersebut bersama adik dan sepupunya menaiki kenderaan jenis Proton Iswara.
Ujarnya, semasa mahu bergerak keluar ke Kampung Melor dia mendapati dua orang kanak-kanak perempuan berlari dalam keadaan menangis.
"Semasa di jalan keluar utama, dia telah melihat sebuah motosikal yang dinaiki dua orang lelaki telah mengejarnya. Oleh kerana takut, lelaki itu bertindak ke balai polis memandangkan dia membawa wang tunai berjumlah RM16,000.
"Kesemua yang terlibat telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok untuk siasatan lanjut. Hasil siasatan mendapati kejadian yang berlaku adalah salah faham dan tiada kejadian cubaan culik yang berlaku.
"Pihak yang disyaki berada di kawasan tersebut atas urusan jual beli kenderaan sahaja. Mangsa dan pihak yang disyaki telah berjumpa serta berpuas hati dengan hasil siasatan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!