Satelit ERS-2 bakal jatuh ke Bumi selepas 30 tahun di angkasa

ESA pada Rabu menjangkakan satelit ERS-2 akan terhempas ke Bumi. Foto Agensi
ESA pada Rabu menjangkakan satelit ERS-2 akan terhempas ke Bumi. Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) pada Rabu menjangkakan satelit European Remote Sensing ERS-2 akan terhempas ke Bumi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

ERS-2 telah dilancarkan pada 1995 menyusuli satelit ERS-1 yang telah dilancarkan empat tahun sebelumnya.

Kedua-dua satelit ERS berkenaan merupakan satelit pemerhati Bumi paling canggih yang pernah dibangunkan pada ketika itu.

Pada 2011, ESA menghentikan operasi ERS-2 dan memulakan proses penyahorbitan.

Selepas 13 tahun, satelit secara semula jadi akan memasuki semula atmosfera Bumi dan pecah menjadi kepingan.

Kebanyakan komponen ERS-2 akan terbakar ketika proses ini, namun ESA masih memantau pendaratannya yang diramal berlaku di pantai timur Afrika tengah.

Mana-mana bahagian yang masih tersisa akan bertaburan atas tanah manakala risiko berkaitan dianggap sangat rendah.

Menurut data yang diperoleh pada 20 Februari, Pejabat Serpihan Angkasa ESA meramalkan kemasukan semula satelit ERS-2 akan terjadi sekitar 1532 GMT.

Artikel Berkaitan:

Pejabat Serpihan Angkasa ESA memberi amaran bahawa ramalan mereka mungkin tersasar kira-kira empat jam setengah sebelum atau selepas waktu itu.

Sepanjang tempoh 16 tahun, ERS-2 mengubah perspektif manusia mengenai Bumi dan memberi pemahaman tentang perubahan iklim.

Satelit itu mengumpul data mengenai ais di kutub yang semakin berkurangan, perubahan permukaan tanah, peningkatan paras laut, pemanasan lautan dan kimia atmosfera.

Di samping itu, ERS-2 turut digunakan untuk memantau bencana alam seperti banjir dan gempa bumi di bahagian terpencil dunia. - Bernama-dpa

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!