'Anak-anak sering panggil, ingat ibu masih ada'

Laporan Sinar Harian pada Oktober tahun lalu.
Laporan Sinar Harian pada Oktober tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang suami reda setelah isterinya yang menderita ketumbuhan atau tumor pada otak sejak hampir setahun lalu meninggal dunia pada Isnin.

Zainuddin Ngah, 43, berkata, isterinya, Zaipah Abdul Majid, 39, menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Kampung Kubang Kekura, Paloh, di sini.

Menurutnya, tahap kesihatan ibu kepada dua anak itu merudum sejak awal Februari lalu walaupun telah menjalani beberapa rawatan moden dan secara tradisional.

"Sebenarnya selepas buat X-ray di hospital baru-baru ni doktor beritahu tumor isteri semakin mengecil dan hanya tinggal 3 sentimeter (cm). Lepas tu bila buat imbasan lagi saya diberitahu hanya tinggal bekas tumor.

"Bagaimanapun, masuk bulan Februari ni isteri saya lumpuh terus dan tidak boleh bangun atau berjalan sehinggalah hari dia menghembuskan nafas terakhir kelmarin.

"Berat badan dia pun menyusut dari 58 kilogram (kg) kepada 40kg sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Zainuddin berkata, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi walaupun telah mencuba pelbagai kaedah rawatan sebagai ikhtiar untuk mengubati isterinya.

"Sedih memang sedih. Anak-anak lagilah tak boleh lupakan lagi ibu dia, selalu panggil ingatkan ibu dia masih ada, tetapi saya pasrah kerana ALLAH SWT lebih sayangkan dia," kata bapa kepada Muhammad Nasrullah, 11 dan Siti Nur Aisyah, 7.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin memberitahu, isterinya mula dikesan menghidap penyakit itu sebelum Ramadan tahun lalu.

"Dia mula-mula kena sakit ni masa sebelum bulan puasa tahun lepas. Tahun ini dia 'pergi' dulu pada bulan Syaaban, kami tak sempat sambut Ramadan bersama," katanya.

Pada 24 Oktober 2023, Sinar Harian melaporkan seorang wanita tidak menyangka sakit pada bahagian kepala yang dialami menjadi petanda dia menghidap ketumbuhan atau tumor pada otak.

Zaipah disahkan menderita penyakit itu selepas hampir empat bulan berulang alik ke hospital dan klinik swasta dan menjalani ujian pengimejan resonan magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11 Oktober tahun lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!