SeRenE raih pakej pembiayaan RM1.88 bilion
SEMARAK Renewable Energy Sdn Bhd (SeRenE) berjaya memperoleh pakej pembiayaan sebanyak RM1.88 bilion (ASD400 juta) untuk projek hidrogen hijau atau mesra alam yang inovatif di Perak.
Pembiayaan itu ditandatangani di Singapura pada Isnin dan diatur oleh Capitale Ventures, sebuah firma modal teroka terkenal dengan Chalfouh LLC bertindak sebagai penasihat, akan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar hidrogen hijau utama menggunakan teknologi fotovoltaik terapung.
Menurut Pengarah Urusan SeRenE, Mohammad Shahil Ishak, projek yang pertama seumpamanya di negara ini telah menarik minat pelabur asing mengakui potensi besar hidrogen dalam membentuk masa depan tenaga.
Berikutan tindakan pengeluar kereta Jepun terkenal seperti Toyota dan Honda melabur secara besar-besaran dalam teknologi hidrogen untuk kenderaan, Shahil menjangkakan berlakunya impak transformasi yang sama dalam pelbagai sektor lain, termasuk perkapalan.
Sambil turut mengalu-alukan penyertaan pelabur tempatan dan kerajaan, Shahil menegaskan projek hidrogen hijau bukan sahaja berdaya maju tetapi juga berpotensi memberikan pulangan, selaras dengan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian mampan.
Jelas beliau, projek SeRenE di Perak melibatkan pembangunan pengeluaran tenaga hijau menggunakan teknologi generasi kuasa fotovoltaik terapung, penyimpanan dan pengangkutan hidrogen yang menjanjikan perubahan signifikan ke arah amalan tenaga lestari.
Mohammad Shahil menjelaskan, hidrogen hijau menawarkan bekalan tenaga bersih yang berbeza dengan sumber hidrogen konvensional seperti 'hidrogen kelabu' daripada bahan bakar fosil atau 'hidrogen biru' dari gas asli, sekali gus menjadi sebagai alternatif yang lebih baik.
Sekiranya lebih banyak projek seumpama ini dilaksanakan, kata beliau Malaysia mampu menjuarai industri tenaga hijau global, dan mampu menarik bukan sahaja sokongan kewangan tetapi juga mereka yang prihatin terhadap alam sekitar di seluruh dunia.
Pada majlis memeterai pembiayaan tersebut, SeRenE diwakili oleh Mohammad Shahil manakala Capitale Venture pula oleh Pengasas Bersamanya, Willy Lim.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!