'Tidak salah guna balik dasar lama' - Ka Siong

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

SHAH ALAM - Dasar pentadbiran kerajaan sebelum ini boleh dipakai semula selagi mana ia dapat berfungsi untuk membantu rakyat di negara ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ahli Jemaah Menteri perlu mendengar suara rintihan rakyat ketika ini seterusnya merencanakan dasar yang baik dan boleh dirasai oleh mereka.

“Yang baik dijadikan amalan, yang buruk dijadikan sempadan. Tidak salah untuk kita guna balik dasar lama asalkan untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Daripada cukai barang bernilai rendah (LGV), cukai barang mewah, peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai keuntungan modal, pelaksanaan e-invoicing dan sebagainya saya rasa guna balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan penambahbaikan dalam sistem input dan juga pengurangan kadar GST.

“Kedua kerajaan sepatutnya melaksanakan polisi rasionalisasi subsidi minyak Ron95 selepas selesai mengutip data-data yang berkaitan secara menyeluruh dan jitu,” katanya dalam siaran di Facebook pada Rabu.

Ujar Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, kepimpinan kerajaan perlu ketepikan fahaman politik sebaliknya melakukan usaha yang terbaik demi negara dan rakyat.

Menurutnya, terdapat beberapa contoh dasar kerajaan sebelum ini yang terbukti dapat membantu rakyat termasuk Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kerjasama antara Proton Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Proton-Geely), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tun Razak Exchange (TRX) dan projek mega lain.

“Berdasarkan kepada contoh yang dinyatakan, saya kepada kerajaan untuk teruskan dasar-dasar yang dahulunya dikritik dan dimaki hamun tetapi asalkan ia membawa kepada kebaikan kepada rakyat, kita teruskan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!