Enggan terima 'cash' RM75,000 Ali Puteh, peguam Hidayah beri penjelasan
BALU Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali enggan menerima pembayaran wang saman fitnah yang dibuat Ali Puteh pada Isnin disebabkan faktor keselamatan.
Perkara tersebut dijelaskan peguamnya, Mohamed Ibrahim Mohamad dalam satu video pendek di akaun Instagram Hidayah pada Rabu.
Jelas Ibrahim, anak guamnya itu telah menghubunginya sebaik Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan datang ke rumah Hidayah pada jam 6.30 petang dan membawa wang tunai berjumlah RM75,000.
“Puan Hidayah telah menghubungi saya untuk bertanya sama ada beliau boleh mengambil RM75,000 tersebut.
“Dari segi undang-undang tak ada masalah untuk Encik Ali membayar wang tersebut secara tunai tetapi saya mengambil kira pada waktu itu, apabila sejumlah wang sebegitu besar dibawa ke rumah Puan Hidayah, pada waktu senja dan urusan itu dibuat secara siaran langsung.
“Jadi semua orang akan tahu bahawa pada malam tersebut akan ada sejumlah wang yang besar yang akan disimpan di rumah Puan Hidayah dan wang tersebut tidak boleh dimasukkan sehingga keesokan hari di dalam bank,” ujarnya.
Justeru atas faktor keselamatan, Ibrahim telah mencadangkan agar wang itu dihantar ke firma guaman atau dimasukkan ke dalam akaun bank.
“Jadi atas faktor-faktor keselamatan, kami nasihatkan Encik Ali supaya wang itu di bawa ke firma guaman atau dimasukkan terus ke dalam akaun bank atau dibuat bank draf.
“Ini semua atas faktor keselamatan. Saya percaya puan Hidayah tidak ada niat apa pun untuk menolak kecuali mengambil kira faktor keselamatan,” jelasnya bersama Hidayah.
Semalam, Ali berkunjung ke rumah kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali bagi melunaskan bayaran berjumlah RM75,486.48 secara tunai kepada Hidayah seperti yang diperintahkan mahkamah.
Dalam kunjungan tersebut, Ali turut membacakan surat yang juga ditandatangani bersama kakak iparnya.
Bagaimanapun, urusan pembayaran hutang saman berkenaan masih belum selesai selepas pihak Hidayah mahu Ali melakukan transaksi tersebut melalui peguamnya.
Sebelum ini, Ali terpaksa menjual tujuh buah trofi yang pernah dimenanginya untuk mendapatkan wang bagi melangsaikan hutang tersebut.
Antara yang dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar dan Projek Komedi Warna, sebuah motosikal jenis RXZ dan sebuah kereta Honda Accord.
Pada Mei 2020, Norhidayah, telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu dalam akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.
Kes itu berpihak pada Hidayah dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Februari 2022 telah memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya untuk membayar RM60,000 kepada Hidayah.
Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Selangor.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia empat tahun.
Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari 2020 selepas dua hari mengalami demam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!