Kemelut XPDC: Tukar nama atau tubuh band tribute - Freddie Fernandez

Datuk Freddie Fernandez
Datuk Freddie Fernandez
A
A
A

TIADA jalan lain yang lebih beradab dilihat oleh Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez bagi menyelesaikan isu membabitkan penggunaan nama dan lagu kumpulan heavy metal terkenal XPDC.

Jelas Freddie yang menghubungi Astro AWANI pada Rabu, kumpulan yang menggunakan jenama kugiran tersebut perlu berlaku jujur dengan mengadakan perjumpaan dengan semua anggota XPDC Kita Pengyu dan Militia dan menyatakan hasrat untuk menyanyikan lagu-lagu mereka dalam sebarang persembahan.

"Dalam hal band yang menjadi polemik dengan dua lagi band XPDC yang diiktiraf, saya mencadangkan dua jalan penyelesaian.

"Langkah pertama ialah duduk semeja dengan dua lagi band asal, nyatakan hasrat ingin menjadi band tribute dan kedua-dua band adalah idola mereka.

"Jika diizinkan oleh empunya band asal, rasanya selesai," kata Freddie.

Mereka juga tidak boleh sama sekali menggunakan nama XPDC walau apa cara sekalipun melainkan sekadar band 'tribute' atau 'impersonator band' dan perkara ini harus dinyatakan dalam semua poster yang mengiklankan persembahan mereka, katanya lagi.

"Cara kedua adalah memilih nama lain yang betul agar tidak mengelirukan. Nama yang lebih humble terhadap band original kerana mereka hanyalah band tribute.

Artikel Berkaitan:

"Nama harus ditukar supaya tidak buat orang keliru. Nama 'Real' itu sendiri pun satu provokasi, seolah-olah dua kumpulan XPDC (Izo & Amy, Zua) adalah kurang 'Real'.

"Untuk mereka bertindak sebagai tribute band, haruslah ada etika menjunjung tinggi kumpulan idola mereka, bukan berkonflik sebegini," kata Freddie.

Tambah beliau, tiada alasan malu untuk menjadi band tribute kerana menurutnya ia satu perkara biasa yang berlaku di luar negara.

"Contohnya, band wanita The Iron Maidens, band yang memainkan kembali lagu-lagu kumpulan Iron Maiden walaupun di kala band Iron Maiden masih wujud.

"Saya difahamkan bahawa The Iron Maidens ada meminta kebenaran secara langsung dari band asal Iron Maiden.

"Tidak jadi masalah jika ingin jadi band tribute, asalkan secara berhemah dengan band asal," jelas Freddie.

Keperluan menukarkan nama band juga, bagi Freddie, adalah mandatori kerana senario semasa ini mampu menjejaskan nama baik XPDC itu sendiri, mengelirukan peminat, serta pastinya memberi impak yang tidak baik kepada pemilik asal.

Jelas Freddie, adalah tidak wajar sama sekali XPDC perlu menanggung kesan tidak baik dek perbuatan tidak bertanggungjawab sebuah band tiruan yang bergerak semata-mata ingin mencari keuntungan sendiri.

"Hati-hati juga dengan pelbagai pihak yang suka ambil kesempatan, menangguk di air keruh. Pemuzik akan tetap susah dan jadi wadah tunggangan.

"Saya tak ingin perkara ini berlaku kerana pernah jadi ahli muzik suatu waktu dahulu," tegas Freddie.

Beliau dalam pada itu berharap agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik dan secara muhibah.

"Saya faham realiti hidup sebagai pemuzik terutama dalam situasi sekarang. Saya amat gembira seandainya pemuzik semua boleh cari makan," katanya lagi. - Awani

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!