Taib Mahmud penyumbang penting satukan rakyat Sarawak, Malaysia
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Dua bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sebagai penyumbang penting terhadap penyatuan rakyat berbilang latar belakang di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
Mengucapkan takziah kepada keluarga Abdul Taib yang meninggal dunia awal pagi hari ini, kedua-dua pemimpin itu turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan amat besar bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga kepada Malaysia secara keseluruhannya.
Musa berkata, sebagai pemimpin di negeri berjiran, hubungannya dengan Allahyarham Abdul Taib sangat erat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri untuk memajukan negeri Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, Abdul Taib ketika hayatnya mencurahkan tenaga dan buah fikiran terhadap pembangunan Sarawak dan memberikan sumbangan besar dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang suku kaum di Sarawak dan Malaysia.
"Pada hemat saya, Allahyarham Tun Pehin Sri merupakan seorang pemimpin sangat berpengalaman dan fokus untuk memajukan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata, Abdul Taib yang pernah menjadi Menteri di peringkat Persekutuan, telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan di Sarawak serta Malaysia.
Beliau berkata, Allahyarham berjaya memimpin dan menggembleng tenaga pemimpin rakyat Sarawak yang berbilang latar belakang untuk duduk bersama dalam satu kepimpinan demi memajukan negeri itu.
"Sumbangan Allahyarham cukup besar dalam pembangunan dan menyatukan rakyat. Semoga roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud seperti kehilangan seorang tokoh yang tidak berhenti menabur bakti terhadap tanah tumpah darahnya.Ismail Sabri berkata, jasa dan pengorbanan Allahyarham Abdul Taib untuk negara khususnya Sarawak amat besar.
"Sepanjang hayatnya, Allahyarham sentiasa memastikan hubungan di antara negeri serta pusat kekal utuh demi kemakmuran negara terus berkekalan.
"Salam takziah buat keluarga dan seluruh rakyat negeri Sarawak. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman," katanya menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.
Abdul Taib, 87, yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada jam 4.40 pagi tadi.
Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!