Lelaki tunjuk skil 'drift' hingga langgar kenderaan lain ditahan
BATU PAHAT - Polis menahan pemandu kereta Toyota Supra yang melakukan aksi 'drift' sehingga terbabas melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang di parkir di Jalan Desa Botani 1, Taman Desa Botani di sini pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki tempatan berusia 20 tahun itu telah ditahan pada jam 1.15 tengah hari.
"Sebelum itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Batu Pahat telah mengesan video tular di Facebook memaparkan kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku sekitar jam 12.15 pagi.
"Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan serta risikan lanjut, suspek berjaya ditahan dan kereta disita. Ujian saringan air kencing mendapati tiada mengandungi sebarang jenis dadah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Shahrulanuar, perintah reman ke atas suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Khamis.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.
"Polis menasihatkan orang ramai terutamanya ‘kaki kereta’ atau ‘kaki motor’ yang cenderung suka menguji dan menunjukkan kehebatan jentera dan ‘kepakaran’ pemanduan agar tidak melakukannya di jalan-jalan awam kerana mengundang risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Jika ingin berbuat demikian hendaklah di litar khas yang bersesuaian. Polis akan mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang ada bagi mengelakkan perbuatan tersebut menjadi ikut-ikutan semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan ‘test power’ tidak bertempat," ujarnya.
Aksi video berdurasi 37 saat yang tular itu memaparkan sebuah kereta yang melakukan pusingan ‘drift’ sebelum melanggar sebuah kenderaan lain yang diparkir di bahu jalan kawasan premis perniagaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!