Soh Thian Lai dilantik sebagai Presiden FMM untuk 2024-2025

Thian Lai
Thian Lai
A
A
A

PERSEKUTUAN Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah melantik semula Tan Sri Soh Thian Lai sebagai presiden dalam barisan baharu FMM bagi penggal 2024-2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang merasmikan majlis angkat sumpah FMM dan Majlis Malam Media pada Selasa berkata, Thian Lai dan semua ahli Majlis FMM telah dipilih pada mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-55 yang berlangsung Disember lepas.

"Melihat FMM sejak penubuhannya pada tahun 1968 dengan sokongan padu dan komitmen FMM, ia benar-benar memainkan peranan penting terutamanya dalam membangunkan sektor pembuatan.

"Sektor pembuatan adalah sektor penting bagi Malaysia dan apabila anda melihat kepada eksport, 80 peratus eksport negara adalah daripada sektor pembuatan. Justeru, penyertaan aktif anda dalam pelbagai jawatankuasa kerajaan serta panel adalah sangat penting bagi saya dan kementerian dan sudah semestinya kepada kerajaan,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata, sektor pembuatan juga merupakan antara sektor penting yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana sektor itu menyumbang kepada 24 peratus daripada 3.7 peratus pertumbuhan KDNK yang diumumkan baru-baru ini.

"Sektor ini juga menyumbang saiz yang cukup bermakna dari segi tenaga kerja di Malaysia. Kira-kira 17 peratus tenaga kerja Malaysia adalah daripada sektor pembuatan.

"Dari segi penilaian, hari ini, nilai sektor pembuatan hampir RM370 bilion. Bagi eksport pula, pada tahun 2010, eksport sektor pembuatan adalah sekitar RM490 bilion. Hari ini, hampir RM1.5 trilion. Ia telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!