Motivasi terbaik buat Aniq
ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mengintai lebih banyak kejayaan apabila menyasarkan angkatan keseluruhan 305 kilogram (kg) dalam kejohanan pada tahun ini.
Itu motivasi atlet badang negara dari Johor itu setelah dinobatkan Olahragawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023 sekali lagi mengulangi pencapaian edisi 2022.
Malah, Aniq yang akan beraksi dalam Kategori 61kg dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand pada April depan menegaskan keputusan positif di bumi Gajah Perang tersebut penting dalam mencerahkan pemburuan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Katanya, beliau akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kedudukan ranking ketika ini lebih selamat selain kejuaraan tersebut merupakan pentas terakhir untuk semua atlet mendapatkan mata bagi kelayakan ke Paris 2024.
“Sejujurnya sasaran peribadi saya bagi 2024 adalah 305kg dan saya akan berusaha merealisasikan angkatan itu bermula sasaran 300kg dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia di Thailand pada April.
“Selepas sesi terakhir kelayakan ke Olimpik Paris di Thailand, setelah itu baru akan dapat senarai 10 atlet terbaik yang akan ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan UiTM 2023 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam pada Selasa.
Sebagai rekod, Aniq sebelum ini mencipta sensasi apabila memecah rekod kebangsaan Kategori 61kg dalam Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar pada Disember lalu berada di ranking ketujuh Kategori 61kg Kelayakan Olimpik Paris 2024.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!