Mesin bakar lemang pusing sendiri jimatkan masa
BACHOK - Inovasi ciptaan mesin pembakar lemang berpusing secara automatik oleh seorang tenaga pengajar dari GiatMara Kota Bharu berjaya menjimatkan tempoh pembakaran lemang hingga tiga jam berbanding kaedah tradisional.
Tenaga pengajar itu, Fauzi Zakaria, 56, berkata, mesin diciptanya tersebut menggunakan kuasa elektrik daripada pengubahsuaian melalui penggunaan gegancu dan rantai motosikal.
Menurut beliau, mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan ideanya itu sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan 50 peratus terhadap tenaga manusia bagi kerja-kerja membakar lemang terutama pada musim-musim perayaan.
“Setiap kali menjelang raya, saya disuruh membakar lemang oleh mentua semasa bulan puasa dan terasa bahang panas api serta asap ketika melakukan kerja-kerja dalam tempoh yang lama.
“Idea ciptaan mesin ini tercetus melalui kemahiran teknikal yang ada, saya hasilkan mesin atau dapur lemang berputar sendiri.
"Jadi sudah tidak perlu untuk memusing-musingkan buluh bagi memastikan lemang masak sekata selain memendekkan masa memasak lemang dari empat jam kepada sejam sahaja,” katanya ketika ditemui di Jelawat, di sini pada Rabu.
Elemen tradisional masih kekal
Fauzi memberitahu, mesin inovasi tersebut bagaimanapun masih mengekalkan elemen tradisional iaitu pembakaran yang masih menggunakan arang atau kayu bagi mendapatkan aroma lemang yang lebih sedap.
“Biasanya kalau ada ciptaan baharu mesti menggunakan gas atau pembakaran secara elektrik tetapi mesin saya ini masih lagi menggunakan arang dan kayu sebagai bahan bakar.
“Reka bentuk mesin ini mempunyai ruang untuk pembakaran arang di bahagian tengah-tengah mesin dan keluli berkualiti tinggi dibina dalam bentuk bulatan untuk memerangkap haba membolehkan lemang masak dengan sekata,” ujar beliau.
Kata pemegang Sijil Kemahiran Malaysia Pertengahan Kaji Sawat Jentera Berat dari Institut Kemahiran Mara Jasin Melaka itu, reka bentuk mesin tersebut dibuat dalam dua jenis penggunaan iaitu persendirian dan perniagaan serta ciri istimewa tapak beroda serta mudah dialihkan atau dibawa ke mana-mana lokasi.
“Bagi mesin untuk kegunaan sendiri dapat berfungsi membakar 25 lemang di dalam buluh pada satu-satu masa, manakala untuk peniaga, ada mesin yang berkapasiti membakar 50 lemang serentak.
“Bergantung kepada keperluan, jika orang persendirian mahu lebih banyak ruang pun boleh menggunakan mesin berkapasiti lebih besar dan harganya berbeza iaitu RM4,000 (25 ruang untuk bakar lemang) dan RM4,500 (50 ruang bakar lemang),” katanya.
Ujar Fauzi, ciptaan itu mendapat perhatian Yayasan Inovasi Malaysia yang menempah 10 unit mesin untuk kumpulan B40 menjana ekonomi mereka melalui geran Geran I/See bernilai RM139,000 merangkumi kos modal dan peralatan.
“Saya juga menerima tempahan mesin dari pembeli di Selangor, Johor serta Brunei yang perlu disiapkan sebelum Aidilfitri.
“Ada juga permintaan untuk mesin bernilai RM5,500 yang boleh membakar sehingga 130 lemang sekali gus selain saya juga memberikan perkhidmatan selepas pembelian dengan berkongsi resipi dan teknik-teknik penghasilan lemang yang enak serta rendang warisan keluarga isteri,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!