Kayu pelet rezeki bekas pensyarah
TUMPAT - Seorang bekas pensyarah akhirnya reda menjadi tukang kayu selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mencari sumber rezeki apabila kolej tempatnya mencari rezeki ditutup tujuh tahun lalu.
Zaharin Abu Bakar, 44, berkata, segalanya bermula pada tahun 2016 selepas dia buntu memikirkan pekerjaan terbaik untuk menyara keluarga.
"Saya pernah membuka kedai membaiki komputer dan menjual kosmetik tetapi tidak mampu bertahan lama," katanya ketika ditemui di bengkel kayunya di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu pada Rabu.
Bapa kepada empat anak itu kemudian terdetik untuk cuba membuat kerusi daripada kayu pelet selepas melihatnya di media sosial.
"Melalui gambar dari bahagian depan kerusi, saya kemudian berusaha membinanya sendiri tetapi mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan berikutan hanya menggunakan peralatan asas iaitu tukul, paku dan gergaji.
"Saya hanya menghabiskan hanya RM200 untuk membeli semua barang itu termasuk kayu dan skru kerana tidak tahu sejauh mana kebolehan bertukang ketika itu," katanya.
Jelas Zaharin lagi walaupun tidak semahir tukang kayu lain tetapi dengan penuh keyakinan, dia berkongsi hasil tangannya di media sosial dan ternyata penat lelahnya berbaloi apabila ada rakan yang mahu membuat tempahan.
"Ketika itu saya hanya berserah kepada ALLAH SWT dan berfikir hanya dengan berusaha boleh memberi rezeki.
"Ada yang meminta saya membaiki kerusi yang sudah patah di bahagian penyandarnya dan ada juga menghantar kaki mesin jahit untuk diubah suai sebagai meja," katanya.
Lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu memanfaatkan kayu lebihan kayu dengan membuat kraf kecil yang selalunya mendapat sambutan daripada peminatnya.
Selepas tujuh tahun, Zaharin kini boleh berbangga dengan usahanya kerana mampu menghasilkan lebih banyak perabot daripada kayu pelet malah diinovasi untuk memudahkan pengguna.
Zaharin pernah menerima tempahan dari Terengganu iaitu 15 set meja makan dengan setiap satunya mempunyai enam kerusi.
"Ketika itu hanya beberapa bulan saya membuat perabot dan masih tidak pandai mengurus.
"Dengan ruang kecil dan peralatan terhad, saya cuba menghasilkan yang terbaik kerana tahu tidak mudah mendapat peluang seperti itu," katanya.
Kini Zaharin sudah yakin untuk menerima tempahan lebih besar daripada kayu pelet malah inovasi yang dilakukan juga menjimatkan ruang rumah.
Antara peralatan rumah yang dihasilkan ialah katil bersorong tiga, kerusi yang boleh diubah suai sebagai katil dan rak rehal.
Dia yang kini bertindak sebagai pengurus dan pengusaha perabot kayu pelet mampu mengupah tiga pekerja untuk membantunya menyiapkan tempahan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!