Masa depan badminton negara belum nampak sinar
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohammad Norza Zakaria tampak optimis bahawa barisan pemain negara yang ada ketika ini mampu membawa pulang Piala Thomas.
Saingan Piala Thomas 2024 dijadualkan berlangsung di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei nanti.
Norza meluahkan keyakinan tersebut berdasarkan prestasi dipamerkan skuad lelaki negara ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Setia Alam, Shah Alam pada minggu lalu.
Ironiknya, sebahagian besar peminat badminton tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut kerana skuad lelaki gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mempertahankan BATC.
Malah, ramai sudah menghidu bahawa Malaysia akan meneruskan kemarau 32 tahun Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992 di Kuala Lumpur.
Harus diingat, pada edisi dua tahun lalu di Bangkok, Malaysia tersekat pada suku akhir selepas tumpas kepada India. Lebih malang dan memalukan, ia adalah kekalahan pertama kepada India sejak tahun 1979!
Namun begitu, terdapat persamaan mengenai situasi di Piala Thomas 2022 dan BATC 2024 iaitu Malaysia terlalu bergantung kepada pemain nombor 10 dunia, Zii Jia untuk menyumbang mata buat pasukan negara.
Situasi tersebut jelas membuktikan bahawa Malaysia masih ketandusan bakat pemain terutama dalam acara perseorangan dan perlu memandang serius masalah ini memandangkan ia bukanlah masalah baharu dalam arena sukan badminton.
Kegagalan di Bangkok turut mendapat perhatian bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang percaya Malaysia tidak akan mampu memenangi semula Piala Thomas selagi BAM gagal membariskan skuad yang ampuh di mana negara perlu ada sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain perseorangan hebat.
Mengulas kegagalan di BATC 2024 pula, Chong Wei mengakui ‘semakin berputus asa’ dengan badminton Malaysia dan menegaskan perubahan drastik perlu dilakukan bagi menyelamatkan sukan itu di negara ini.
Apa pun, kita perlu terima hakikat prestasi badminton negara semakin merudum dan tidak mustahil satu hari nanti Malaysia hanya sekadar mampu menceritakan kisah-kisah kejayaan masa lampau tanpa meraih sebarang pencapaian membanggakan di masa hadapan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!