31 pekerja warga asing ditahan dalam serbuan di premis makanan
KUANTAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan 31 pekerja warga asing hasil serbuan ke atas sembilan premis makanan di sekitar daerah Raub, Bentong dan Temerloh pada Selasa.
Pengarahnya, Muhammad Hatta Kasim berkata, dalam serbuan dijalankan bermula jam 3 petang hingga 9.25 malam itu, seramai 55 orang warga asing dan tempatan diperiksa sepanjang operasi tersebut.
Menurutnya, pekerja premis makanan warga asing yang ditahan terdiri daripada 11 warga Indonesia, Thailand (10), Myanmar (tiga), Pakistan (dua), Bangladesh (dua), Nepal (dua) dan India (satu).
"Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada sebarang pas yang sah.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas," katanya.
Muhammad Hatta berkata, kesemua tahanan berusia antara 18 hingga 51 tahun itu akan direman selama 14 hari bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Tahanan Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut.
"Majikan yang terlibat telah diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan kerana menggajikan warga asing tanpa dokumen sah," ujarnya.
Sementara itu katanya, JIM Pahang meminta kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokaliti masing-masing.
"Langkah itu bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran PATI di negeri ini.
"Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!