Semua jawatan MPT Bersatu sesi 2019-2022 dipertandingkan
PETALING JAYA - Semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sesi 2019-2022 akan dipertandingkan semasa pemilihan tertinggi parti itu, 4 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar berkata, pemilihan tersebut akan dibuat pada tarikh berkenaan termasuk keputusan pemilihan dimaklumkan pada hari sama.
"Bagaimanapun, pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pada 20 Jun depan tidak ada pemilihan, semua jawatan dipertandingkan sebelum itu kerana pada 20 Jun hanya fokus hala tuju parti.
"Pemilihan ini kita cuba buat macam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia bagi memastikan perjalanan baik dan bersih dari segala apa juga tuduhan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.
Sementara itu, Marzuki berkata, sebanyak 2,946 cawangan layak bermesyuarat bermula 25 Januari sehingga 1 Mac.
Menurutnya, seramai 377,057 ahli layak hadir dalam persidangan memilih jawatankuasa cawangan dan bahagian Bersatu kali ini.
"Bersatu akan mengadakan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian yang masing-masing dijadualkan berlangsung dari 25 Januari hingga 1 Mac serta 4 April depan," katanya.
Sempena persidangan cawangan pada 25 Januari, Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan, bahagian dan MPT, termasuk sayap Srikandi serta Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Persidangan cawangan didahului dengan persidangan Srikandi dan Armada cawangan yang akan memilih jawatankuasa Srikandi serta Armada cawangan masing-masing dan jawatankuasa Srikandi serta Armada bahagian masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!