JAIS halang sebarang aktiviti Mawla Amin
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tegas dalam menghalang apa sahaja aktiviti yang membabitkan individu dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi berkata, hasil pemantauan JAIS mendapati sebuah madrasah di negeri ini disyaki menjadi hos kepada individu terbabit sepanjang berada di Selangor pada tahun lalu.
Jelasnya, beberapa pihak mendakwa individu bernama Habib Maulana Muhammad Amin Al-Hasani adalah cicit kepada Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun jelasnya, tiada sebarang fakta jelas dan keterangan pihak atau susur galur yang boleh menyokong dan membuktikan dakwaan tersebut
Sehubungan itu, katanya, sepanjang tahun lalu JAIS menghalang penganjuran apa-apa bentuk aktiviti membabitkan individu terbabit di Selangor.
"Malah JAIS tidak berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan perkara yang mendatangkan keraguan sehingga menjadi fitnah kepada Islam keseluruhannya.
"Kami menyeru semua umat Islam di Selangor lebih berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan perkara meragukan seumpama ini," katanya pada Khamis.
Sementara itu, mengulas mengenai madrasah yang dikatakan terpalit dengan kes salah laku membabitkan mudir memukul pelajar, Mohd Shahzihan berkata, institusi pendidikan swasta terbabit tidak berdaftar.
"Pegawai melaporkan kepada saya apa berlaku dan apa tindakan diambil pihak berkenaan termasuk pihak sekolah, pihak berkuasa dan ibu bapa.
"JAIS difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (sudah) mengambil tindakan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kejadian pukul dan paksa pelajar tidur di dalam tandas oleh tenaga pengajar sebuah madrasah tahfiz di Selangor sejak beberapa tahun lalu.
Operasi pusat pengajian itu dipercayai didokong seorang ahli politik dari Pantai Timur, peguam serta pengamal perubatan selain disyaki mengutip dana daripada orang ramai kononnya untuk membiayai pembinaan sebuah surau namun dikatakan tidak pernah siap sehingga kini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!