Baca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Syaaban, berikut penjelasannya

MENJADI kelaziman masyarakat kita untuk membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban. -Gambar hiasan
MENJADI kelaziman masyarakat kita untuk membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban. -Gambar hiasan
A
A
A

MASA berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, kita sudah akan memasuki Nisfu Syaaban atau pertengahan bulan Syaaban pada hari Ahad ini.

Ia menandakan Ramadan kian hampir iaitu kurang setengah purnama lagi.

Maka selepas terbenamnya matahari pada hari Sabtu ini, pasti ramai yang sibuk mempersiapkan diri untuk melakukan ibadah pada malam Nisfu Syaaban.

Antara amalan yang sering dilazimkan oleh kebanyakan masyarakat kita adalah membaca Surah Yasin pada malam istimewa berkenaan.

Malah, ada yang membaca Yasin hingga tiga kali hingga terbabas dari segi makhrajhuruf dan hukum tajwidnya.

Pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menegur kesilapan yang sering diremehkan oleh sebilangan individu dek kerana mengejar imbalan tertentu hingga mengabaikan aspek tersebut.

USTAZ MOHAMAD HADI
USTAZ MOHAMAD HADI

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali pada malam Nisfu Syaaban pada adatnya bukanlah sesuatu yang disyariatkan dalam agama mahupun sunnah.

“Cuma kita yang adakannya, tetapi saya perhati, baca pula (Yasin) terlalu laju sampai tak jaga hukum tajwid, panjang dan pendek makhraj sama sahaja.

“Sebaiknya, kita tidak mahu bacaan yang lagha dan tidak dapat pahala,” katanya kepada Sinar Islam.

Sekalipun tidak ada nas yang memerihalkan tentangnya, namun ia bukanlah bermakna, kita dilarang daripada terus membaca Surah Yasin pada malam Nisfu Syaaban kerana tiada dalil yang menegahnya.

Jelas Mohamad Hadi, tiada halangan untuk kita membaca Yasin pada bila-bila masa asalkan menjaga tartil (tertib dan rapi) bacaan tersebut serta bukannya bersifat ekspres.

“Andai mampu menjaga bacaan dengan baik, bolehlah surah tadi dibacakan sebanyak tiga kali. Andai tidak mampu, baca sekali pun sudah memadai.

“Ingatlah, Islam bukan mahu kita ‘pulun’, tetapi biarlah apa yang dibaca itu ada penghayatan, tadabbur, tertib dan rapi, barulah kita dapat pahala,” ungkapnya.

BACALAH Yasin mahupun al-Quran dengan sebutan tajwid dan makhraj yang betul serta secara tartil. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
BACALAH Yasin mahupun al-Quran dengan sebutan tajwid dan makhraj yang betul serta secara tartil. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Hukum hidupkan malam Nisfu Syaaban

Merujuk artikel bertajuk ‘Hukum Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban’ yang disiarkan di laman web Jabatan Mufti Terengganu, umat Islam diingatkan agar tidak menganggap bahawa malam Nisfu Syaaban sebagai malam penentuan nasib seseorang pada tahun berikutnya.

Ia sehinggakan terdapat sebilangan masyarakat sanggup meninggalkan pekerjaan pada malam tersebut untuk menghadiri malam Nisfu Syaaban kerana khuatir terlepas ‘habuan’ besar.

“Kepercayaan seperti ini dibimbangi akan menjejaskan akidah sebagai seorang Muslim,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel berkenaan.

Meskipun terdapat pertikaian dari segi kelebihan yang ada pada malam tersebut dan amalan boleh dilakukan, Jabatan Mufti Terengganu menjelaskan, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah pada malam Nisfu Syaaban.

“Antaranya banyak membaca al-Quran, zikir, berdoa dan qiamullail sebagaimana disebutkan dalam hadis,” katanya.

Antaranya hadis sahih yang jelas menunjukkan kelebihan pada malam berkenaan iaitu diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asya’ri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT menilik (hamba-hamba-NYA) pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampunkan seluruh hamba-hamba-NYA melainkan orang melakukan syirik dan orang munafik.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

MENURUT Imam Syafie, malam Nisfu Syaaban merupakan antara waktu mustajab berdoa.
MENURUT Imam Syafie, malam Nisfu Syaaban merupakan antara waktu mustajab berdoa.

Jelaslah pengampunan ALLAH SWT sebenarnya berasaskan kepada amalan-amalan soleh dilakukan oleh hamba-NYA.

“Oleh itu, disarankan kepada umat Islam supaya hadir ke majlis menghayati Nisfu Syaaban beramai-ramai dan jadikan ia sebagai titik permulaan untuk mereka menjinakkan diri dengan rumah ALLAH selain mendapatkan kelebihan-kelebihan dikurniakan oleh-NYA pada malam berkenaan.

“Malah, sebagai seorang Islam, tidak wajar mereka hanya memilih malam-malam tertentu untuk beribadah,” tegasnya.

Seperkara lagi, usah lepaskan peluang untuk berdoa pada malam istimewa itu.

Ini kerana pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menerusi hantaran di platform X miliknya menjelaskan, ia antara malam mustajab doa sebagaimana disebutkan oleh Imam Syafie Rahimahullah.

Menerusi kitabnya, al-Umm, Imam Syafie mengatakan: “Doa mustajab adalah pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!