Buat laporan palsu disamun, jurujual didenda RM2,000

Jia Shun berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Khamis selepas didenda RM2,000 kerana membuat laporan polis palsu.
Jia Shun berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Khamis selepas didenda RM2,000 kerana membuat laporan polis palsu.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang jurujual kedai peralatan lampu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Khamis selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu kononnya disamun, dua minggu lalu.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan turut memerintahkan tertuduh, Khiu Jia Shun, 40, dikenakan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memberikan maklumat bertulis yang palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan yang sepatutnya tidak dilakukan di pejabat pegawai penyiasat bahagian siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput sekitar jam 1 petang pada 9 Februari 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, lelaki itu mendakwa wang kedai berjumlah RM10,000 telah disamun dua lelaki bermotosikal ketika berada di tepi Jalan Kemiri, Sungai Siput berhampiran sebuah kilang.

Hasil soal siasat mendapati kejadian samun tersebut tidak berlaku dan wang tersebut sebenarnya telah digunakan tertuduh bagi membuat persiapan Tahun Baharu Cina.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, RS Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.

Terdahulu, Vitthiyeswary memohon hukuman denda yang tinggi dikenakan terhadap tertuduh berikutan alasannya membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun itu disifatkan sebagai tidak munasabah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Siti Hajar dalam rayuannya memohon tertuduh yang menetap di Johor Bahru, Johor dikenakan hukuman denda minimum atas alasan mempunyai tanggungan seorang isteri dan anak berusia 12 tahun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!