Tujuh kontena minuman keras seludup RM7.13 juta dirampas

Roselan (tiga dari kanan) bersama pegawai JKDM Pulau Pinang menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas.
Roselan (tiga dari kanan) bersama pegawai JKDM Pulau Pinang menunjukkan sebahagian minuman keras yang dirampas.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 361, 236 tin minuman keras yang dianggarkan bernilai RM7.133 juta termasuk cukai yang melibatkan tiga sindiket berasingan pada 31 Januari dan 7 Februari lalu.

Pengarah JKDM Pulau Pinang, Roselan Ramli berkata, dalam kes pertama sepasukan pegawai dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang Bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat menahan dua buah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang selepas mendapati dokumen yang diikrarkan mencurigakan.

Menurutnya, menerusi manifesto import menyatakan kedua-dua kontena terbabit membawa kepingan aluminium yang mana barang dagangan terbabit dipercayai dibawa dari sebuah negara di Asia Timur.

"Hasil pemeriksaan rapi terhadap dua kontena terbabit, telah menemukan sejumlah 106,560 tin minuman keras jenis bir yang disyaki tidak berkastam bersamaan dengan 52,668 liter melibatkan nilai anggaran RM263,340 dan cukai berjumlah RM1,708,984.20.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun yang bertindak sebagai ejen sebuah syarikat perkapalan ditahan untuk membantu siasatan lanjut," katanya ketika sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, pada Khamis.

Bagi kes kedua, Roselan berkata, pihaknya berjaya merampas empat lagi kontena pada hari dan lokasi sama sebelum menemukan 202,356 tin minuman keras jenis bir yang disyaki tidak berkastam bersamaan dengan 102,098 liter.

"Bagi kes itu ia melibatkan nilai anggaran RM561,541.20 dan cukai berjumlah RM3,451,339.98.

"Siasatan awal mendapati kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, Selangor dan ia diimport oleh sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, melalui dokumen yang diperolehi, dagangan ini disyaki juga berasal dari negara di Asia Timur.

"Kita masih mengesan pihak yang bertanggungjawab membawa masuk keempat-empat kontena ini.

"Melalui manifesto import, sindiket terbabit mengikrar dagangan sebagai kepingan aloi, namun bila pemeriksaan lanjut ternyata barangan lain yang tidak bercukai," katanya.

Sementara itu, bagi kes ketiga pula, beliau berkata, sebuah kontena ditahan di pelabuhan sama pada 7 Februari lalu sebelum menemui 52,320 tin minuman disyaki tidak berkastam bersamaan dengan 26,160 liter dan melibatkan nilai anggaran RM144,000 serta cukai berjumlah RM1,004,282.40.

"Siasatan mendapati kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ia diimport oleh sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Selangor," katanya.

Ditanya sama ada kesemua minuman keras ini diseludup masuk ke negara ini sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Roselan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu.

"Kita percaya kontena ini juga berasal dari negara Asia Timur dan diikrarkan sebagai kabin falam manifes import.

"Kesemua kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 iaitu cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam1967.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!