Siasatan lengkap tapi menantu Muhyiddin belum dapat dikesan - Azam

Azam. Foto Bernama
Azam. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan ke atas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan sudah dilengkapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, meskipun siasatan sudah disiapkan, namun Muhammad Adlan, 48, masih belum dapat dikesan.

Beliau berkata, menantu bekas Perdana Menteri itu masih pulang ke tanah air setelah bertindak keluar dari Malaysia pada Mei tahun lalu.

"Kertas siasatan melibatkan Muhammad Adlan telah selesai dan bersedia untuk dituduh, namun dia masih belum dapat dikesan dan belum kembali ke tanah air.

"SPRM telah menghantar kertas siasatan berhubung kes pecah amanah untuk pertuduhan di mahkamah," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis konvokesyen Program Pegawai Integriti Betauliah (CeIO) kali ke-10 di World Trade Centre (WTC), dekat sini.

Majlis konvokesyen itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Muhammad Adlan perlu kembali ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan oleh SPRM membabitkan kes pecah amanah jenayah (CBT).

Artikel Berkaitan:

Pada Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat, 69.

Beberapa dokumen termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu terlibat telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.

Tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semakan rekod oleh SPRM mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!