Isu Ratu Naga: Tiada pindahan wang dikesan libat pegawai di JPM

Azam (kiri) ketika sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. Foto Bernama
Azam (kiri) ketika sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tidak berlaku pemindahan wang atau dana awam kerajaan membabitkan mana-mana pegawai tertentu di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dapatan itu diperoleh SPRM berdasarkan siasatan awal terhadap aktivis politik pro-Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga yang didakwa menerima ganjaran untuk membantu NGO itu mendapatkan geran kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tiada pemindahan wang yang dikesan oleh suruhanjaya itu membabitkan NGO dan pegawai JPM terbabit berdasarkan indikator atau petunjuk yang menjurus kepada perbuatan tersebut.

Beliau berkata, dapatan itu berpandukan hasil siasatan ke atas dakwaan Syarul Ema Rena yang juga pempengaruh pro-PPN.

"Berdasarkan laporan daripada pegawai penyiasat, tidak ada indikator yang 'lead' (menjurus) diberikan kembali kepada mana-mana pihak di JPM.

"Ia merupakan dana awam kerajaan hasil permohonan NGO terbabit dan dimasukkan kepada pihak berkenaan (NGO tersebut)," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) kali ke-10 di World Trade Centre (WTC), dekat sini.

Majlis konvokesyen itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan kes itu masih dijalankan dengan memanggil saksi-saksi lain.

Selain itu kata beliau, siasatan turut dilakukan ke atas NGO yang membuat tohmahan serius berhubung sebahagian wang disalurkan kepada pertubuhan terbabit dikembalikan kepada JPM.

Sementara itu, Azam berkata, SPRM sama sekali tidak pernah menahan Ratu Naga, sebaliknya sekadar memanggil untuk dirakam percakapan.

Tambahnya, pihak lain yang dipanggil juga tidak ditahan dan hanya diambil butiran percakapan.

Terdahulu pada 16 Februari lalu, SPRM menafikan penyedia kandungan media sosial dikenali Ratu Naga ditahan, sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

Aktivis politik itu disiasat berhubung dakwaan bahawa dia menerima beberapa peratus hasil kutipan sumbangan yang diberikan kepada sebuah NGO.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!