[VIDEO] Tujuh pemain bola sepak mengaku salah cederakan pasukan lawan
KUALA TERENGGANU - Tujuh pemain kelab bola sepak amatur termasuk seorang penjawat awam mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dakwaan mencederakan pasukan lawan ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) pada Januari lalu.
Tertuduh, Ahmad Zaim Zahirulhaq Roslan, 24, Muhamad Supian Al Shaari, 29; Mohd Zulkifli Abdullah, 36; Mohd. Hazwani Ab Karim, 32; Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli, 29; Ahmad Najmie Adnan, 34 dan Wan Muhamad Aidid Ghazali, 22 didakwa melakukan kesalahan itu di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di Kuala Nerus jam 11 pagi pada 12 Januari lalu.
Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri dan Noor Mazrinie Mahmood.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dibawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Muhammad Supian berdepan tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Ronny Irwan Husni @ Abdul Rahman, 46; Muhammad Zarif Adib Chek Azman, 18 dan Muhammad Alauddin Roslan, 19.
Mahkamah memutuskan tertuduh didenda RM1,500 bagi setiap pertuduhan dan berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Selain itu, Mohd Zulkifli berdepan dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas dua mangsa pada masa dan lokasi yang sama.
Mahkamah memutuskan tertuduh didenda RM1,500 bagi setiap pertuduhan atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Seorang lagi tertuduh, Ahmad Najmie yang merupakan penjawat awam berdepan satu pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang mangsa pada masa dan lokasi yang sama.
Mahkamah memutuskan tertuduh didenda RM1,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Empat lagi tertuduh masing-masing berdepan satu pertuduhan dan menerima hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali dan Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nadzir.
Sebelum ini, media melaporkan berlaku insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu ketika minit akhir perlawanan antara NAG FC dan KESA FC yang berlangsung di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Difahamkan, pergaduhan itu tercetus sebelum perlawanan antara kelab NAG FC dengan KESA FC tamat dengan NAG FC mendahului 4-1 pada kejohanan edisi kedua tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!