Perpaduan kaum di Sarawak legasi Taib Mahmud perlu dipertahan
KUALA LUMPUR - Menyatupadukan pelbagai suku kaum di Sarawak adalah antara legasi bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang perlu dicontohi dan dipertahankan.
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata, selain itu, corak pentadbiran yang adil dibawa Abdul Taib termasuk ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak juga sangat membanggakan yang menyaksikan setiap rakyat di negeri itu menerima layanan sama rata.
"Di Sarawak dan Sabah, isu agama dan bangsa ini tidak dimainkan. Ini ialah satu legasi yang dipupuk oleh Tun (Abdul Taib) yang mana dia tak main isu politik agama dan bangsa dan ini menyebabkan rakyat Sarawak dapat menerima layanan yang adil dan sama rata. Inilah yang kerap ditekankan beliau.
"Barang diingat, Sarawak mempunyai jumlah kaum yang paling banyak, tapi boleh bersatu,” katanya ketika menjadi tetamu dalam segmen ‘Belasungkawa - Tun Abdul Taib Mahmud’ di Bernama Radio, pada Khamis.
Azman turut menyifatkan Abdul Taib yang digelar Bapa Pemodenan Sarawak sebagai seorang tokoh yang tiada tolok bandingnya.
"Sebagai seorang bapa pembangunan Sarawak, yang menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun sejak tahun 1981, beliau membangunkan dan membina Sarawak yang dari segi kestabilan politiknya boleh menjadi contoh untuk generasi sekarang,” katanya.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Lembang Dugun dalam program sama berkata, Abdul Taib telah meletakkan asas terbaik kepada pembangunan Sarawak.
"Banyak yang telah disumbangkan Allahyarham di negeri Bumi Kenyalang terutamanya dalam aspek pembangunan yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa.
"Banyak daerah kecil ditransformasikan seperti di Kota Samarahan yang saya lihat sendiri bagaimana impak pembangunan dilakukan begitu pantas dengan mewujudkan hab pendidikan dengan tertubuhnya Unimas, Universiti Teknologi Mara (UiTM), hab perguruan dan sebagainya.
"Usaha beliau melihat jauh ke hadapan ini adalah untuk memastikan rakyat Sarawak terus menikmati pembangunan dan dapat bersaing dengan masyarakat luar atau lain di Malaysia,” katanya.
Exco Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) yang juga Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Tarmizi Karnain menyifatkan Abdul Taib sebagai seorang yang mesra rakyat termasuk golongan muda.
Katanya, sepanjang tempoh pemerintahan Abdul Taib, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan golongan belia di Sarawak dapat menikmati kehidupan dalam persekitaran yang moden serta maju.
Pagi ini, jenazah Allahyarham Abdul Taib dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak bagi membolehkan orang awam, dif-dif kenamaan dan anggota Kabinet memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Menteri itu, bermula 8 pagi hingga 11.30 pagi.
Solat jenazah dijadualkan selepas itu di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham disusuli istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
Abdul Taib yang juga digelar Bapa Pemodenan Sarawak meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi Rabu di sebuah hospital di Kuala Lumpur. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!