Pengarah syarikat didakwa duduki tanah kerajaan Pahang tanpa kebenaran

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menduduki tanah kerajaan negeri Pahang tanpa kebenaran, tahun lepas.

Cheong Chin Chong, 62, dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Permatang Perawan, Pekan sekitar 5.15 petang pada 8 Ogos 2023.

Dia dituduh mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara Akta 828 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Pejabat Tanah dan Galian Pahang Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Muhammad Taqiuddin Azizan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dikurangkan kerana berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan masih menanggung isteri, dua anak serta bapa.

Hakim Azman Mustapha kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!